IPOH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang membenarkan pemilih yang berkhidmat dalam beberapa sektor pekerjaan seperti media, perubatan, penerbangan dan cari gali minyak mengundi secara pos atau mengundi awal bersama polis dan tentera pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, cadangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang sebelum ini turut menilai beberapa cadangan lain seperti pengunaan dakwat kekal atau biometrik.
“Jika cadangan dipersetujui, rang undang-undang pindaan peraturan dan undang-undang berkaitan termasuk membolehkan pengundian awal akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program taklimat PRU-13 kepada 24 pegawai pengurus dan 105 penolong pegawai pengurus pilihan raya negeri ini di sini semalam.
Abdul Aziz berkata, jika sempat kesemua cadangan itu boleh dilaksanakan pada PRU-13.
“Kita faham ada beberapa kumpulan media yang tidak dapat pergi mengundi kerana tugas, jadi adakah kita nak biarkan begini? Oleh itu, kita fikir patut buat perubahan supaya mereka ini mengundi pos atau mengundi awal dan cadangan ini akan dibawa ke dalam jawatankuasa berkenaan nanti.
“Sebenarnya, bukan saja media tetapi juga petugas di pesawat seperti pramugari dan pramugara, jururawat dan petugas di pelantar minyak,” katanya.
Beliau berkata, SPR sedang menjalankan kajian berkenaan cadangan-cadangan itu sama ada sesuai dilaksanakan tetapi ia bergantung kepada pindaan peraturan dan undang-undang. [Kosmo]
0 Komen :
Post a Comment