BlogList Malaysia

30 September 2011

Ulama Belaan Umno Pulak Bercakap Tentang Hudud

YDP Yadim: Muslim tentang hudud ciptaan parti gilakan kuasa

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Aziz Jamaludin Mhd Tahir berkata, masyarakat Islam hanya membantah hukum hudud ciptaan mereka yang gila kuasa memerintah, bukannya “menentang hukum hudud yang sebenar.”

“Setiap orang Islam tidak menentang hukum hudud yang sebenar, tetapi yang ditentang sekarang ialah hukum hudud ciptaan mereka yang gila kuasa untuk memerintah,” kata beliau (gambar) yang merujuk kepada usaha PAS sejak hampir dua dekad lalu.

Dalam menginterpretasikan hukum hudud, katanya, “kita sebenarnya harus memisahkan antara hukum hudud yang digariskan oleh al-Quran dan hadis, dengan hukum hudud yang digubal oleh yang mempunyai kepentingan politik semata-mata.”


Dalam tulisan di Utusan Malaysia keluaran hari ini, Aziz berkata, keadilan hukum hudud yang hendak dibawa PAS juga boleh dipertikaikan jika prosedurnya tidak adil, keterangan yang diberikan bercanggah dan penyiasatan tidak lengkap.

“Undang-undang tetap dianggap tidak adil jika cara melaksanakannya tidak dijalankan seadil-adilnya. Umpamanya dalam menjatuhkan hukuman rejam. Sebelum hukuman dijatuhkan, ia perlu diadili dengan sebaik-baiknya,” kata beliau.

Katanya, “kita menyokong niat baik mereka untuk melaksanakan hukum hudud tetapi ia perlu mengambil kira hal-hal lain yang menuju ke arah keislaman, tidak hanya menggunakan undang-undang yang dikatakan Islam sahaja.”

Aziz berkata, untuk mencapai keadilan yang diharapkan bukanlah mudah kerana ia perlu kepada pelaksanaan yang betul. “Prosedur, keterangan-keterangan serta penyiasatan semuanya mesti betul,” katanya lagi sambil menambah, “ia bukanlah sesuatu yang boleh dilihat dengan mudah.”

“Contohnya hukum hudud seperti yang pernah dikemukakan oleh kerajaan PAS Kelantan yang dikatakan tidak dapat memberi keadilan.

“Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan dikatakan tidak mencerminkan hukum syarak yang sebenar,” katanya.

Oleh itu kata beliau, dilema yang ada ialah dari segi perundangannya.

Selain Kanun Jenayah Syariah II 1993, kata beliau, Kelantan juga mempunyai Kanun Jenayah Syariah 1985 yang memperuntukkan beberapa kesalahan sama dalam undang-undang yang lama dan baru.

Keadaan itu menurut beliau, menimbulkan kekeliruan kerana kerajaan Kelantan membenarkan kedua-dua bentuk hukuman jenayah syariah terbabit kerana kedua-duanya kekal sebagai undang-undang.

“Contohnya, adakah orang yang disabitkan dengan kesalahan dalam undang-undang pertama juga boleh dihukum berdasarkan undang-undang kedua?

“Selain itu, jika terdapat undang-undang baru, adakah undang-undang yang lama akan terbatal?” kata beliau lagi.

Dari segi perundangan juga, tambah beliau, undang-undang bagi jenis-jenis kesalahan dan bentuk hududnya sudah terkandung dalam Kanun Keseksaan. “Contohnya, melakukan pembunuhan atau kesalahan dalam melakukan kecederaan. Ia menimbulkan masalah kerana hanya satu kesalahan, tetapi terdapat dua atau tiga undang-undang bagi kesalahan sama,” katanya lagi.

Menurut Aziz, keadaan itu menimbulkan kesulitan kerana mengikut undang-undang negara, mencuri merupakan satu kesalahan.

Katanya, kerajaan Kelantan turut membuat undang-undang sama bagi kesalahan mencuri.

“Kebiasaannya, hanya satu pemakaian undang-undang bagi sesebuah negara. Persoalannya, adakah seseorang yang didakwa berdasarkan hukum hudud boleh terlepas daripada Kanun Keseksaan? Persoalan inilah yang perlu dijelaskan,” katanya lagi.

Aziz menambah, keindahan dan keistimewaan undang-undang Islam akan dapat dinikmati apabila tertib keutamaan maslahah seperti memelihara keperluan asasi, memelihara kepentingan manusia dalam keperluan sampingan dan memelihara keselesaan dan keharmonian hidup, dijadikan ukuran untuk menggubal undang-undang yang bertepatan dengan roh syariah yang menegakkan keadilan.

“Dari segi ruang lingkupnya pula, maslahah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kepentingan awam, kepentingan orang kebanyakandan kepentingan orang perseorangan.

“Keutamaan maslahah ini harus dipelihara mengikut yang sewajarnya dalam pembinaan hukum dari semasa ke semasa,” katanya.

Aziz menambah, undang-undang yang didasarkan kepada kepentingan atau maslahah yang kebelakangan, tetapi bercanggah dengan kepentingan dan maslahah yang lebih utama bukanlah undang-undang islamik kerana tidak dapat mencapai matlamat dikehendaki oleh syariat Islam.

Dipetik dari Malaysia Insider



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas