SHAH ALAM 22 SEPT : Kadar pertumbuhan ekonomi bagi Negeri Selangor sehingga tahun 2030 dijangka pada kadar lima peratus setahun. Statistik juga menunjukkan hampir 22 peratus nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia disumbangkan oleh negeri Selangor.
Perkara ini dinyatakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dalam taklimat kepada Yang di-Pertuan Agong di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.
Majlis itu adalah sempena lawatan rasmi ke bawah duli tuanku ke Selangor.
Taklimat tersebut turut dihadiri Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, para EXCO kerajaan negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Tambahnya, dari segi pelaburan, pada tahun 2010, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM10.6 bilion.
Sementara bagi enam bulan pertama tahun ini, Selangor telah mengatasi negeri-negeri lain dalam usaha membawa masuk pelaburan ke Malaysia dengan nilai pelaburan mencecah RM5.2 bilion.
Katanya, Selangor akan terus menumpukan kepada sektor perkhidmatan dan pembuatan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Prinsip Merakyatkan Ekonomi Selangor didasarkan pada hakikat bahawa pelbagai sumber negeri adalah kepunyaan rakyat. Oleh itu adalah sewajarnya Kerajaan memulangkan kekayaan negeri kepada rakyat tanpa mengira perbezaan kaum dan pembezaan agama,” kata Khusrin.
Menurutnya, Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor ini bakal memanfaatkan seluruh rakyat di negeri ini daripada lahir hinggalah ke usia emas.
“Sehingga kini program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor fasa pertama hingga fasa keempat sudah dijayakan dengan jayanya,” kata Khusrin.
Tambah Khusrin, dengan pentadbiran negeri yang telus dan berorientasi pelaburan, Selangor akan terus menjadi negeri pilihan pelabur asing serta komuniti perniagaan dalam dan luar negara.
0 Komen :
Post a Comment