BlogList Malaysia

15 September 2011

Pelbagai reaksi ucapan khas Najib

Walaupun dilihat sebagai langkah positif, pengumuman mengejutkan Datuk Seri Najib Razak, antaranya pemansuhan akta ISA, masih terdapat pihak yang masih meragui keikhlasan perdana menteri.

Berikut reaksi segera terhadap ucapan Najib yang ketika menyampaikan perutusan khas sempena Hari Malaysia yang akan disambut esok:

Pemansuhan ISA

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee
Majlis Peguam Malaysia memuji perdana menteri yang maju jauh dan berjanji memansuhkan dan mengkaji semula cebisan undang-undang yang ketinggalan zaman dan menekan.

Ini langkah utama ke arah mengembalikan kedaulatan undang-undang dan menghormati Perlembagaan Persekutuan. Ini tindak balas yang betul perdana menteri kepada suara rakyat. Majlis Peguam bersungguh-sungguh menanti butiran lanjut proses ini.


Presiden Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh
Apakah benar ISA dimansuh dan bilakah tempoh akan dimansuh? Kita tentang ISA sebab peruntukan tahanan tanpa bicara. Tetapi jika dibentuk dua lagi undang-undang yang juga mempunyai peruntukan tahan tanpa bicara, kita anggap perjuangan kita belum selesai.

Betul mansuh dan kita sedikit lega. Tetapi mansuh satu (akta) dan masuk dua (undang-undang baru), sebab itu kita tidak mahu terlalu gembira lagi.

Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman
Isu sebenar kebebasan media di Malaysia bukan pembaharuan permit tahunan. Isunya, susah atau senang mendapatkan permit penerbitan dan percetakan. Dari segi prinsipnya, konsep mengenakan permit untuk media itu sendiri satu halangan besar kebebasan.

Sepatutnya, media tidak memerlukan permit, sudah memadai mendaftar akhbar, majalah, portal berita seperti kita mendaftar sebuah syarikat atau mendaftar kenderaan.

Keputusan mutlak menteri untuk memberi atau menarik balik permit (dan tidak boleh dicabar di mahkamah) seperti dalam Akta Penerbitan dan Mesin Cetak sekarang masih kekal dan tidak disentuh sama sekali dalam ucapan perdana menteri. Sepatutnya perkara ini dihapuskan.

Perdana menteri juga menyentuh beberapa lagi akta yang mengekang kebebasan pengamal media seperti Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi.

Jadi, pengumuman Datuk Seri Najib Razak hanya sebagai di permukaan, banyak hal asas (fundamental) tidak diusik (dipinda).

Isteri mangsa bekas tahanan ISA Norlaila Othman
Kami tidak tahu hendak (kata) alhamdulilah atau bersorak "yahoo" sebab sudah banyak kali kena tipu. Selagi Kem Kamunting tidak ditutup, selagi semua tahanan tidak dibebaskan dan selagi ISA tidak lagi menjadi akta baru kami akan percaya.

Walaupun ISA dimansuh, dia boleh buat akta baru pada bila-bila masa saja. Kita tidak mahu akhirnya cuma tukar nama sahaja.

Presiden MIC Datuk G Palanivel
Ia pengumuman yang tepat pada masanya dan menunjukkan bahawa kita berubah dari masa ke semasa. Ia juga menunjukkan kerajaan mendengar suara rakyat.

Pengerusi BERSIH 2.0 S Ambiga
Apabila kamu longgarkan tali kekangan, ia sentiasa selangkah ke arah yang betul. Saya tidak jelas apa beliau (Najib) maksudkan, tetapi saya tidak setuju tindakan berterusan menentang demonstrasi jalanan.

Demonstrasi jalanan ada nilainya, yang tertakluk bawah kebebasan berhimpun. Dengan membezakan demonstrasi jalanan dengan bentuk demonstrasi lain sepenuhnya tersasar daripada hak kebebasan terhimpun.





Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas