KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Kejahilan para pemimpin dan penyokong-penyokong Umno dalam agama terserlah, apabila ceramah Israk Mikraj yang akan disampaikan oleh penceramah PAS atas undangan mereka sendiri, diminta dibatalkan kerana bimbang akan dijadikan ceramah politik.
Sebagai gantinya, majlis ceramah itu diarahkan ditukar kepada majlis bacaan surah Yaasin, seperti yang lazim diamalkan oleh masyarakat kita pada setiap malam Jumaat, dengan diketuai oleh penceramah terbabit dengan serta merta oleh pihak penganjur atas arahan pemimpin atasan Umno.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Solehin Muhyi menjelaskan, kejadian itu pernah dialami oleh beliau sendiri sekitar tahun 2001 lalu, apabila diundang oleh pihak pentadbiran sebuah masjid di Shah Alam yang dibarisi pemimpin dan penyokong Umno untuk menyampaikan ceramah di masjid itu pada suatu malam.
Menurut beliau, ketika arahan pertukaran majlis ceramah kepada bacaan Yaasin itu diberikan kepada beliau oleh pihak pengurusan masjid itu, beliau sudah pun memegang mikrofon untuk memulakan ceramah Israk Mikraj seperti yang dijadualkan.
Katanya, beliau yang datang dari Sabak Bernam, Selangor dengan mengambil masa sekitar sejam untuk sampai ke masjid itu, amat hairan dan kecewa dengan sikap pihak pengurusan masjid tersebut kerana mahu menukar jadual tersebut dalam masa mendadak.
"Apabila saya bertanya kepada pihak penganjur yang datang berbisik kepada saya untuk memberikan arahan itu, saya terus diberitahu oleh pihak penganjur bahawa pertukaran tersebut terpaksa dilakukan atas arahan pihak atasan, iaitu pemimpin tertinggi Umno," katanya ketika menyampaikan tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, arahan tersebut tidak dilaksanakan oleh beliau kerana memikirkan tanggungjawab yang terpikul di bahunya berhubung tugas penyebaran ilmu kepada orang ramai, di samping kerugian yang pasti dihadapi oleh masyarakat sekitarnya berhubung kepentingan menuntut ilmu.
"Mengikut jadual, ceramah itu pun bukannya panjang, hanya untuk satu jam sahaja. Jadi pada pandangan saya, jika hanya untuk ceramah sependek itu pun tak dibenarkan, bagaimanakah lagi masyarakat sekitar akan terdidik dengan didikan agama?
"Memikirkan tentang kewajipan dan kepentingan itulah, saya enggan mematuhi arahan itu dan bertegas untuk menyampaikan ceramah Israk Mikraj juga seperti yang dirancangkan sebelumnya," jelasnya.
Ketegasan beliau itu bagaimanapun tetap ditentang oleh pihak penganjur sehingga akhirnya memaksa beliau mengambil jalan tengah dengan tidak menukarkan majlis itu kepada bacaan surah Yaasin, tetapi tazkirah surah Yaasin.
Sungguhpun begitu, majlis tersebut tetap dikenakan sekatan tertentu oleh pihak penganjur bagi menghalang didengar oleh orang ramai di luar masjid, dengan disyaratkan tidak boleh menggunakan alat pembesar suara.
"Atas kepentingan dakwah, saya terpaksalah juga mematuhi arahan itu agar dapat menyampaikan perkara-perkara yang berguna kepada orang ramai berkaitan surah Yaasin," katanya.
Menerusi skop yang begitu terbatas itu, beliau antara lain memfokuskan tazkirahnya kepada kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya, kepentingan setiap kita mendapatkan kasih sayang Allah dengan beribadat dan keistimewaan orang yang mendapat kasih sayang Allah sehingga dijemput untuk masuk ke dalam syurga dengan tenang di akhirat nanti.
"Begitulah teruknya sikap para pemimpin dan penyokong-penyokong Umno. Mereka begitu takut untuk menyebarkan ilmu kerana bimbang orang ramai akan memberikan sokongan kepada PAS, tidak lagi kepada Umno BN.
"Untuk membolehkan mereka kekal berkuasa, mereka tergamak menyekat perkembangan ilmu terhadap orang ramai sehinggakan ceramah Israk Mikraj pun disangkakan akan dijadikan ceramah politik oleh saya. Pada hal saya langsung tidak berniat untuk menyampaikan ceramah politik pada majlis itu," katanya.
Bagaimanapun, kebangkitan rakyat tetap tidak mampu disekat oleh Umno BN, apabila rakyat Selangor telah memberikan undi kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada tahun 2008 lalu bagi membolehkan Selangor diperintahkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.
Dipetik dari Harakah Daily
15 August 2011
Umno takut kuliah agama jadi ceramah politik
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment