KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Umno Selangor menyifatkan penubuhan Majlis Syura, yang kini dipanggil sebagai Jawatankuasa Pendengaran, sekadar lakonan untuk menutup kegagalan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat berhubung kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya awal bulan ini.
Bagaimanapun pemimpin Pakatan Rakyat Selangor menyambut baik penubuhan panel itu yang akan dianggotai Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid dan timbalannya Datuk Abd Majid Omar - dengan harapan ia dapat mencari jalan penyelesaian.
Menurut Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus, langkah itu adalah “lakonan dan kepura-puraan” pentadbiran Khalid menutup kegagalan menyelesaikan kontroversi melibatkan Jais dan gereja terbabit.
“Apa tujuan dan maksud Majlis Syura (Jawatankuasa Pendengaran) itu? Apa yang hendak dibuat dengan semua ni? Saya bukan kata tidak bersetuju dengannya, tapi untuk apa ia ditubuhkan? Adakah kerana Pakatan Rakyat takut kehilangan kuasa? Takut kehilangan pengundi Kristian?” katanya kepada The Malaysian Insider.
Justeru, beliau menasihatkan Khalid agar tidak bertindak di luar batas agama semata-mata bimbang kehilangan sokongan.
“Sudah-sudahlah lakonan ini, nak buat apa lagi kalau perkara ini dah nyata, buat macam mana pun tidak akan selesai kecuali ambil tindakan ke atas gereja kerana sebarkan agama mereka kepada umat Islam.
“Penubuhan Majlis Syura (Jawatankuasa Pendengaran) ini sekadar lakonan dan retorik untuk menutup semua kegagalan dan kelemahan dalam menangani perkara ini,” kata Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah malam tadi Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar berkata nama Majlis Syura ditukar menjadi Jawatankuasa Pendengaran.
Ia dibuat ekoran teguran istana dan bagi mengelirukan kekeliruan.
Kelmarin, kerajaan negeri Selangor pimpinan Khalid memutuskan untuk menubuhkan badan khas bagi menyelesaikan pertikaian pemeriksaan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.
Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.
Tindakan Jais itu mendapat bantahan banyak pihak, namun dipertahankan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang menegaskan terdapat usaha untuk memurtadkan umat Islam pada program itu.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad berkata penubuhan jawatankuasa khas ini akan dapat menyelesaikan segala kontroversi semasa.
Namun beliau menegaskan, jawapan sebenar hanya akan diketahui sekiranya badan itu mengadakan pertemuan dengan Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama.
“Kaedah ini sepatutnya dapat menyelesaikan segala pertikaian yang berlaku tetapi mesti mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua pihak yang terlibat.
“Apa yang penting adalah kedua-dua pihak tidak mempunyai niat lain, mereka perlu ikhlas dengan tujuan mencari jalan penyelesaian,” kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.
Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR dan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan yang akan dibuat oleh Majlis Syura itu perlu adil kepada semua pihak.
Namun beliau menegaskan, pihak yang bersalah perlu bertanggungjawab dan menerima tindakan yang sepatutnya.
“Saya rasa ia adalah langkah yang baik sebab banyak salah faham yang telah berlaku di luar sana dan kita lihat ramai yang tidak faham tentang apa yang berlaku.
“Pendekatan Majlis Syura ini adalah langkah yang baik untuk kita membuang sentimen ini, tapi ia perlu berhati-hati,” katanya.
Menurut kenyataan Menteri Besar kelmarin badan itu akan mengkaji isu-isu yang membimbangkan masyarakat Islam dan komuniti bukan Islam di Selangor untuk dibangunkan garis panduan demi memastikan sikap hormati-menghormati dan harmoni pelbagi kaum dan agama terus terpelihara.
Katanya ia akan mendapatkan maklumat daripada Jais dan penganjur majlis makan malam di gereja itu, Harapan Komuniti.
24 August 2011
Jawatankuasa Pendengaran: Umno dakwa lakonan, Pakatan kata langkah adil
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment