KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, menyifatkan dakwaan polis bahawa rampasan beberapa jenis senjata berbahaya dikaitkan dengan perhimpunan Bersih, melucukan.
Demikian beliau yang dikenali sebagai Jonah mengulas dakwaan polis, berikutan rampasan beberapa senjata termasuk 44 molotov cocktails, 23 parang dan 48 baju T dengan logo Bersih, di tiga lokasi.
Bom petrol dan mercun yang dijumpai dikatakan disembunyikan di pasu bunga manakala baju T Bersih pula disorokkan di sekitar pusat membeli-belah.
Di Kuala Lumpur, barangan itu kononnya dijumpai di sekitar Sogo, Wisma Bumi Raya dan Komplek Pertama.
Manakala Bernama melaporkan serbuan polis menemui lima buah beg pakaian yang antaranya mengandungi 20 bilah parang dan 36 botol air mineral berisi minyak petrol lengkap bersumbu di sebuah tokong.
Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia meletakkan berita itu di muka hadapannya hari ini.
Bagaimanapun, setakat ini, tidak ada sebarang tangkapan dilakukan pihak polis.
“Ia satu lawak, rasanya rakyat sudah biasa dan mual dengan kenyataan oleh pemerintah yang mudah memberi alasan dengan apa yang ditangkap dan dirampasnya,” kata Jonah, merujuk kepada bahan rampasan tersebut, termasuk bom petrol yang diisi ke dalam ‘botol plastik air mineral’.
“Mereka sengaja mewujudkan perkara-perkara sebegitu untuk menakut-nakutkan rakyat dan memberi tanggapan negatif brehubung Bersih kepada orang ramai,” katanya lagi.
Menurut Jonah, pemerintah perlu sedar dengan tindakan mereka sebelum rakyat melabelkan pihak polis sebagai badan yang diperkudakan demi kepentingan politik.
“Lagi dibuat, lagi orang akan ketawa, cukup-cukuplah memperbodohkan rakyat kerana tidak ada lagi yang boleh diperbodohkan pemerintah.
“Macam-macam mereka terpaksa reka, sebelum ini (Bersih) dikaitkan dengan komunis, perang ke atas Agong dan sebagainya,” kata beliau.
Dipetik dari sini
0 Komen :
Post a Comment