BlogList Malaysia

02 February 2011

Agongpun Tiada Kuasa Satukan Pas Dan Umno

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (gambar) menegaskan PAS tidak akan berganding dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan, yang diharapkan oleh parti teras BN itu sejak 2008, jikapun pihaknya dipelawa berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri.

“Saya memberi jaminan bahawa PAS tidak akan menyertai Umno-Barisan Nasional (BN) meskipun dipelawa oleh Agong,” kata beliau ketika berucap pada pertemuan pertama program Jelajah Pemimpin 2011 anjuran PKR di sini malam tadi.

Sambil merujuk kepada pertemuan 24 Disember 2010, Yang Dipertua PAS Shah Alam itu berkata, bekerjasama dengan umno seolah-olah menjalin kerjasama dengan mereka yang tidak mengendahkan amalan Islam dan mengibaratkan Umno dengan umat Islam yang berkunjung ke kelab-kelab malam untuk mengambil minuman keras.


Justeru kata beliau, PAS lebih rela untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP menerusi Pakatan Rakyat berdasarkan prinsip Islam yang mengutamakan keadilan dan kebenaran, bukannya hanya kerana kaum semata-mata.

“Kami menerima Pakatan Rakyat kerana Umno sudah busuk hingga ke teras,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama timbalannya telah mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis santapan diraja di Istana Terengganu, Kuala Lumpur atas jemputan Yang di-Pertuan Agong.

Pertemuan itu difahamkan ada menyentuh soal kerjasama Umno dan PAS untuk membentuk kerajaan perpaduan walaupun matlamatnya tidak menjadi kenyataan.

Bagaimanapun pada 7 Januari lalu, Najib yang juga presiden Umno mengambil langkah Nik Aziz untuk tidak mahu mendedahkan hasil pertemuan bersama pemimpin parti itu pada 24 Disember yang dihadiri atas jemputan Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sebagai langkah menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri juga memutuskan untuk tidak berkongsi maklumat mengenai pertemuan sempena majlis santapan di Istana Terengganu.

“Kami kena menghormati persefahaman pertemuan dan Yang di-Pertuan Agong mahukan ia satu majlis peribadi,” kata Najib.

Nik Aziz menyifatkan perkara tersebut telah selesai dan tidak perlu dibincangkan lagi.

“Tak ada dah, tutup ‘book’ (buku) dah,” kata beliau sehari sebelum itu. - MI

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas