BlogList Malaysia

12 October 2010

Perbicaaran Kes Bunuh Aminulrashid Bermula


Perbicaraan seorang koperal yang didakwa menembak mati remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, bermula di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini dan dijadualkan berlangsung selama 11 minggu.

Jenain Subi, 48, dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid tanpa niat di Jalan Tarian 11/2 , Seksyen 11, antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Saksi pertama dalam perbicaraan ini adalah lans koperal Mohd Sabri Salleh.

Katanya, ketika kejadian pada 26 April lalu, beliau ditugaskan di Bahagian Gerakan di Shah Alam antara tengah malam hingga jam 8 pagi.

Pada sekitar 1.45 pagi Mohd Sabri berkata beliau menerima panggilan dari kereta peronda SL589 memaklumkan bahawa sebuah kereta Proton Iswara putih sedang memecut dan enggan berhenti.


Katanya, kereta peronda berkenaan memohon bantuan bagi menghentikan kereta tersebut.

“Setelah beberapa minit kemudian, Saya menerima panggilan dari kereta peronda SL614 memaklumkan mereka sedang mengejar kereta Iswara dari Hotel Concorde Hotel ke Bulatan Kayangan dan kemudiannya menghala balik."

"Saya panggil anggota di SL614, Koperal Jenain (tertuduh) melalui telefon bimbitnya. Dia memaklumkan bahawa kereta Iswara itu telah hilang kawalan dan pemandunya cedera di Jalan Makyong 11/2."

Mohd Sabri berkata Jenain kemudiannya meminta beliau memanggil ambulans kerana pemandu Iswara itu cedera.

Saksi kedua, detektif lans koperal Ahmad Zamzani Abd Wahab, 25, memberitahu mahkamah bahawa dia merakamkan 41 keping gambar di lokasi kejadian.

"Saya ambil gambar di jalan, pokok yang dilanggar, kelongsong peluru, juga gambar di dalam kereta dan mangsa,” katanya.

Menurut timbalan pendakwa raya persekutuan, DPP Mohd Dusuki Mokhtar, sejumlah lima saksi akan dipanggil.

Jenain diwakili oleh peguambela Salim Bashir manakala peguam veteran, Karpal Singh bertindak sebagai peguam pemerhati untuk keluarga Aminulrasyid.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas