Sebaliknya, Timbalan Presiden PAS (gambar) menegaskan, beliau mahu melihat kembali rakaman video berhubung ceramah itu sebelum memberikan sebarang komen.
“Saya berucap pada 21 Ogos tapi keluar dalam Utusan Malaysia 27 Ogos, saya tidak mahu beri apa-apa komen lagi... saya nak dengar dan lihat balik rakaman video itu dulu.
“Saya tidak mahu nafi atau apa, saya nak tengok balik... saya tak tahu apa yang dilaporkan (dalam Utusan Malaysia) sama ada ia betul atau tidak,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Akhbar milik Umno itu sejak semalam terus menyerang Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kerana menghina perjuang kemerdekaan dengan menganggap pihak komunis yang menyerang pasukan keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950 adalah hero sebenar.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Mohamad itu yang mengangkat pengganas komunis sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.
Malah, Muhyiddin turut menyifatkan kenyataan Mohamad bahawa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan adalah sesuatu yang biadab.
“Kenyataan Mohamad Sabu ini adalah satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanah air.
“Sebaliknya beliau dengan angkuhnya telah mengangkat kezaliman pengganas komunis sebagai satu kemuliaan,” katanya.
Muhyiddin menegaskan Mohamad wajar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana membuat kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab itu.
Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya semalam menyiarkan kontroversi yang dicetuskan Mohamad apabila mendakwa Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.
Hari ini akhbar Kumpulan Utusan, Mingguan Malaysia memperuntukan enam halaman termasuk muka depan mengecam Mat Sabu.
Selain itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mohamad turut didakwa menggambarkan Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British.
Bagaimanapun dalam rakaman video ceramah itu, The Malaysian Insider mendapati Mohamad langsung tidak menyebut apa-apa tentang Goh sebaliknya hanya menegaskan Muhhammad Indera adalah pejuang kemerdekaan yang sebenarnya.
“Cerita sejarah kita banyak yang tidak kena, bukan kepung polis itu polis British, askar Bukit Kepong itu pejuang kemerdekaan, ketuanya Mat (Muhammad) Indera, Melayu tetapi semua sejarah ditutup.
“Jins Shamsuddin buat filem, dia tu Umno, cerita Bukit Kepong, askar Bukit Kepong ditahan polis British sebab sebelum kemerdekaan negara diperintah oleh British,” katanya.
Tambah beliau: “Tapi dalam filem askar itu pengganas, padahal Mat Indera ketua balai polis dan akhirnya dia dihukum gantung.”
Jelas Mohamad, peristiwa sama turut berulang kepada Tok Janggut di Kelantan yang dianggap pengganas kerana menentang British.
“Tok Janggut lawan British tapi sebelum British nak bunuh dia, dia (British) hasut Sultan Kelantan untuk isytihar Tok Janggut sebagai penderhaka.
“Bila isytihar Tok Janggut penderhaka barulah Tok Janggut dihukum gantung di Pasir Puteh Kelantan,” katanya.
Dalam ceramahnya itu beliau menyifatkan semua sejarah tentang kemerdekaan negara adalah bohong.
“British dikatakan pejuang kemerdekaan, siapa pegawai British? Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman.
“Yang lawan British jadi pengganas,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Anda Bebas Menulis Apa Sahaja Komen, Tetapi Atas Tanggungjawab Anda Sendiri. Bloglist Malaysia Tidak Akan Bertanggungjawab Di Atas Komen Yang Menyalahi Undang-Undang Malaysia.
JADI.., BERANI BUAT BERANI TANGGUNG!