BlogList Malaysia

02 September 2013

Beribu Hektar Tanah Sarawak Dibolot Anak Taib Mahmud

Shahnaz A Majid (gambar) menitiskan air mata di mahkamah hari ini ketika mengenang kembali trauma fizikal, emosi dan mental yang dideritainya sepanjang perkahwinan dengan anak ketua menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib.

Dengan teresak-esak, Shahnaz mengaitkan bagaimana beliau dipukul, ditumbuk, ditendang dan diserang dari 1994 hingga 1998 dengan alasan mengapa beliau masih terus kekal bersama suaminya walaupun didera.


“Biasanya, tidak ada sebab tertentu yang menyebabkan sikap ganasnya. Kami mungkin sedang berbual, saya mungkin tidak bersetuju dengannya dan dia boleh memukul saya,” katanya ketika disoal peguamnya, Akbardin Abdul Kader di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, hari ini.

“Dia pukul saya di kepala, bahu dan juga tendang perut saya,” katanya.Di sebalik semua itu, Shahnaz mengaku beliau tidak membuat laporan polis atau mendapatkan rawatan perubatan.

“Bagaimana saya hendak berbuat begitu? Keluarganya sangat berpengaruh di Sarawak. Bapanya ialah ketua menteri (Tan Sri Abdul Taib Mahmud) negeri. Saya tidak boleh memalukannya. Saya perlu melindungi nama baik bekas suami.

“Pernah sekali saya beritahu kakaknya tetapi tiada perubahan. Jadi apa lagi yang boleh saya buat? Hanya telan semuanya, berdoa dan bersabar,” katanya.

Shahnaz, yang juga kakak kepada penyanyi jazz Datuk Sheila Majid, memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap permohonannya menuntut harta sepencarian bernilai RM300 juta dan RM100 juta tuntutan mutaah bagi penyelesaian perceraiannya.

Shahnaz, 50, mendakwa 50 peratus daripada keseluruhan aset dimiliki oleh Mahmud Abu Bekir. Ini adalah termasuk kereta mewah, rumah di beberapa lokasi, tanah di Sarawak dan saham.

Prosiding penyelesaian perceraian itu mendapat perhatian kerana ia menunjukkan kekayaan keluarga ketua menteri Sarawak itu.

Dalam permohonan yang difailkan ketika permohonan cerai, Shahnaz menyenaraikan aset Mahmud Abu Bekir dan antaranya ialah tujuh kereta mewah, ribuan hektar tanah di Sarawak dan saham dalam 15 syarikat – diisytiharkan sebagai harta sepencarian yang boleh dibahagikan.

Shahnaz dan Mahmud Abu Bekir berkahwin pada 9 Januari, 1992 dan mempunyai seorang anak lelaki, Raden Myura Abdul Taib Mahmud, 20.

Mereka berkahwin selama 19 tahun dan empat bulan sebelum Mahmud memfailkan perceraian pada 11 Mei, 2011.Dalam keterangannya hari ini, beliau berkata, pernah diserang di rumahnya, dalam kereta dan juga dalam bilik air.

Beliau mengalami lebam di tubuhnya dan ada satu ketika, beliau lebam di bahagian mata selama seminggu.

“Saya tidak boleh membaca atau menonton televisyen,” katanya dan menambah beliau trauma dan hidup dalam ketakutan.

“Pada 1997, saya mengalami keguguran kerana tertekan dengan perkahwinan kami dan kerja. Walaupun Mahmud membawa saya ke hospital, dia menyalahkan saya kerana keguguran itu,” katanya.

Shahnaz menangis lagi ketika memberitahu mahkamah bagaimana beliau menderita secara mental dan emosi apabila bekas suaminya menderanya secara lisan.

“Dia suka menggunakan kata-kata kasar. Dia akan memaki hamun saya, panggil saya jalang, terdesak, tua dan gila.“Pernah sekali dia tanya mengapa saya tidak bunuh diri,” katanya sambil mengesat air matanya.

“Itu adalah kata-kata daripada suami saya, tempat saya bergantung.”Shahnaz berkata, pada ketika itu, beliau tahu bahawa tidak ada apa-apa lagi yang tinggal dalam perkahwinannya.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa selain dihina dan dicederakan secara fizikal, suaminya membawa seorang perempuan Australia ketika menghadiri majlis perkahwinan adiknya pada Ogos, 2000.

“Dia tidak menghiraukan saya langsung. Dia memalukan saya dan keluarga di hadapan jiran kami, kenalan perniagaan…malah sebenarnya di hadapan semua orang di Kuching,” katanya.

“Kira-kira dua minggu selepas kejadian itu, dia menghubungi saya dan bertanya bila saya mahu keluar dari rumah itu. Saya terkejut dan bertanya apa maksud dia.

“Dia beritahu perempuan Australia itu tidak mempunyai almari baju yang mencukupi. Saya tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan apa saya rasa pada ketika itu. Saya tidak tanya langsung siapa perempuan itu, sama ada mereka sudah berkahwin. Saya hanya terkedu.”

Shahnaz akhirnya keluar dari rumah itu dan pergi ke Kuala Lumpur bersama anak mereka.Perbicaraan di hadapan Hakim Muhamad Abdul Karim Wahab bersambung petang ini.

Terdahulu, dalam kenyataannya, Shahnaz, yang juga pengarah syarikat milik keluarga Cahaya Mata Sarawak Berhad, memberitahu mahkamah bahawa bekas suaminya mengabaikan nafkah batinnya selama 10 tahun sepanjang perkahwinan mereka.

Perbicaraan itu sepatutnya bermula pada 24 September hingga 24 Disember tahun lalu, membabitkan beberapa testimoni aset dan akaun Mahmud yang dikatakan mencecah billion ringgit, didedahkan.

Pada Mac tahun ini, Mahkamah Syariah Rayuan yang membenarkan permohonan Mahmud memerintahkan perbicaraan semula bagi kes perceraian bernilai RM400 juta itu, sebelum seorang lagi hakim mahkamah syariah tertinggi mendapati perbicaraan mutaah itu tidak dikendalikan mengikut prosedur. Mahkamah memerintahkan perkara itu didengar semula.

~the malaysian insider

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas