BlogList Malaysia

12 January 2013

Ribuan sertai raptai Himpunan Kebangkitan Rakyat malam tadi

KUALA LUMPUR - Raptai Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kelab Sultan Sulaiman di sini malam tadi berjalan dengan lancar tanpa provokasi dengan menarik kehadiran sekitar 2,500 orang.

Praperhimpunan itu dinamakan sebagai "Rapat Kemuncak Count Down #KL112-1 Juta Rakyat" menghimpunkan peserta - kalangan penyokong Pakatan Rakyat dari segenap pelusuk negara.


Mungkin ramai beranggapan raptai ini gimik politik, namun sangkaan itu meleset.

Lebih menghairankan lagi apabila praperhimpunan itu tidak ubah seperti majlis keramaian apabila ramai kanak-kanak yang hadir bersama ibu bapa girang bagaikan hari keluarga.

Kaum wanita dan warga emas pula asyik mendengar seorang demi seorang penceramah yang terdiri daripada pemimpin pembangkang, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang mempunyai perjuangan yang selari dengan Pakatan Rakyat.

Raptai empat jam itu yang diisi dengan ceramah ringkas sekitar lima minit seorang berjaya mengumpulkan kira-kira 50 pembahas yang bermula seawal 8 malam dan berakhir jam 12 tengah malam.

Yang pasti tiada karpet merah buat pemimpin tertinggi seperti Menteri Besar Selangor mahupun bekas artis tempatan yang meletakkan taraf mereka sama tinggi dan sama rendah dengan rakyat yang hadir pada malam tadi.

Walaupun raptai itu disambut dengan hujan renyai-renyai, namun ia tidak menghalang ibu bapa yang membawa anak kecil untuk terus mengimarahkan majlis ilmu itu biar pun duduk bersila di atas padang beralaskan tikar mengkuang dan surat khabar lama.

Praperhimpunan itu bukan sahaja tertumpu kepada amanat dan taklimat kepada peserta esok hari bahkan peniaga juga mengambil kesempatan dengan membuka gerai jualan, sekali gus menjadi tempat orang ramai melepaskan dahaga dan sebagai lapik perut sementara menantikan detik 12 tengah malam.

Di sepanjang jalan menuju Kelab Sultan Sulaiman, dianggarkan lebih 30 gerai mengambil bahagian menjual pelbagai barangan termasuk baju kemeja-T HKR empat warna yang ditetapkan esok iaitu kuning, hijau, oren dan merah.

Tidak ketinggalan artis rok Blank dari kumpulan Gamma turut serta mendengar ceramah ringkas itu sambil memakai helmet yang berlogokan PKR.

Program anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu turut melancarkan kutipan amal daripada peserta yang hadir bagi membantu menampung kos penganjuran malam tadi dan esok di Stadium Merdeka.

Kira-kira 100 anggota polis ditempatkan di sekitar lokasi raptai itu berlangsung baik yang menjaga keselamatan mahupun kelancaran lalu lintas di Kampung Baru itu.

Rata-rata penceramah tidak berkata banyak hanya mengingatkan peserta supaya memastikan mereka mengekalkan keamanan dan tidak merosakkan harta benda awam sepanjang perhimpunan itu berjalan esok.

Antara penceramah yang hadir pada malam tadi ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Exco Pelaburan Selangor, Teresa Kok yang juga Pengerusi DAP Selangor; bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lajim Ukin; Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman; Pengerusi HKR, Mohamad Sabu, yang juga Timbalan Presiden Pas; Pengerusi Anti-Lynas, Wong Tack; Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (Kase) Kedah, Firdaus Jaafar; penyanyi Blues, Ito Blues Gang; bekas penyanyi dan pelakon, Abby Abadi; bekas pelakon tempatan, Hairie Othman; kartunis tempatan, Zunar atau Zulkiflee Anwar Haque, Pengerusi Anak, Mazlan Aliman, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang bersama Adam Adli, dan dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

Majlis itu diakhiri dengan letupan bunga api yang memecah kesunyian malam di Kelab Sultan Sulaiman tepat jam 12 tengah malam.

- SinarHarian


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas