BlogList Malaysia

01 January 2013

Remaja Mati Ditendang Polis

PETALING JAYA 31 Dis: Seorang lagi mangsa kekejaman polis ketika menjalankan tugas. Kali ini, Mohd Azrul Zulkifli, 19, meninggal dunia akibat ditendang polis berpakaian preman.

Kejadian berlaku berhampiran Petaling Jaya Selatan sekitar 3 pagi 25 Disember lalu.

Rakan mangsa, Asmawi (gambar), 28, berkata, Mohd Azrul dan kira-kira sembilan lagi rakan lain yang membonceng lima motosikal ketika itu dalam perjalanan ke pusat karaoke sempena hari jadi mangsa.


“Ketika lalu di jalan gelap, tiba-tiba dua motor tahan mereka. Mereka lari sebab takut ada orang cuba ragut atau rompak mereka. (Lagi pun) mereka berpakaian biasa,” katanya menceritakan semula kejadian itu selepas dihubungi salah seorang rakan yang terselamat.

Menurut Asmawi, polis yang mengejar berjaya menahan sebahagian dari mereka, manakala mangsa dan rakannya, Khairul Azri Sham Abu Kasim, 22, yang menaiki motor Honda EX5 sempat melarikan diri.

“Awalnya jarak mereka dengan polis lebih kurang 500 meter. Tapi polis pakai (motor) Yamaha 135 LC, mesti dapat kejar. Kemudian polis tendang mereka. Arwah meninggal sebab kepala terhentak pada divider jalan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Beliau kesal laporan akhbar menyatakan Mohd Azrul meninggal akibat terlanggar pokok, dan polis kononnya gagal mengejar mereka.

Memetik laporan Malay Mail 28 Disember lalu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Tuah Masrom berkata, siasatan awal mendapati motorsikal Azrul hilang kawalan dan terlanggar pokok, dijumpai selepas polis meneruskan rondaan.


Pagi tadi, bapa Mohd Azrul, Zulkifli Hashim, 49, bersama Khairul Azri ke IPD Petaling Jaya untuk memberi keterangan.

Mereka diiringi Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dan peguam keluarga mangsa, Yusmadi Yusoff.

Siasatan mesti telus, adil

Yusmadi dalam sidang media selepas itu mempersoal kenyataan polis berhubung kes berkenaan sebelum siasatan lengkap dibuat.

“Ini tidak wajar. Ia hanya boleh disimpulkan selepas siasatan selesai…Kita harap kehadiran saksi utama, Khairul Azri yang ada di tempat kejadian mampu bantu siasatan.



“Kita lihat apa kesimpulan polis, (antaranya) dari segi punca kematian. (Selepas itu) Kita akan ambil tindakan sesuai, seperti tindakan sivil jika ada asas,” jelas Ahli Parlimen Balik Pulau itu.

Bapa mangsa mahu polis bertanggungjawab menyebabkan kematian anaknya.

Zulkifli pula gesa polis siasat kes secara terperinci dan adil. Beliau yang sugul enggan mengulas lanjut dan menyerahkan semua urusan berkaitan kepada Yusmadi.

www.keadilandaily.com/


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas