05 January 2013

Misteri Kemana Hilangnya RM207 Bilion Pampasan Buruh Paksa Jepun

KUALA LUMPUR, 4 Jan — Kedutaan Jepun di Malaysia mengesahkan kerajaan negara itu sudah menyerahkan sejumlah wang pampasan kepada kerajaan Malaysia untuk diserahkan kepada buruh paksa pembinaan landasan keretapi Thailand Myanmar.

Setiausaha Kedua Kedutaan Jepun ke Malaysia, Takaharu Suegami, mengesahkan bahawa Tokyo sudah menyerahkan wang tersebut dari awal 1990an hingga tahun 2004.

“Berdasarkan maklumat yang dikaji, kami dapati wang tersebut diserahkan sekitar tahun 1990an.


“Kami akan merujuk kepada Tokyo selepas ini (untuk maklumat lanjut),” kata beliau, dilaporkan oleh Harakahdaily hari ini.

Menurut Suegami, pihaknya tidak mengetahui bagaimana kerajaan Malaysia mengagihkan wang pampasan itu.

Bagaimanapun, beliau berjanji akan merujuk balik dengan Tokyo berdasarkan dokumen yang diberikan hari ini.

Sekretariat Jejak, yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin (gambar) mengunjungi Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur hari ini bagi mendapatkan maklumat lebih mendalam tentang pampasan itu.

Sekretariat itu ditubuhkan untuk mencari waris kepada mangsa yang dipaksa menjadi buruh dalam pembinaan laluan kereta api dari Siam ke Burma semasa Jepun menjajah Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua.

Turut bersama dalam kunjungan itu, Naib Ketua Pemuda PAS Dr Raja Iskandar Al-Hiss, Ketua Operasi Jejak Safarizal Saleh, Penolong Pengerusi Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Binaan Landasan Kereta Api Siam Burma 1942-1946 dan beberapa orang lagi wakil dari Jejak.

Dalam kunjungan hari ini, Sekretariat Jejak juga meminta Tokyo memberi maklumat bila dan berapa jumlah pampasan kepada buruh binaan itu di hantar ke negara ini dan siapa yang mengesahkan penerimaan itu.

Dalam pertemuan sejam itu, Nizar turut meminta Tokyo menyerahkan senarai nama rakyat Malaysia yang menjadi buruh binaan landasan kereta api Siam-Burma 1942 hingga 1946 itu.

“Kita jumpa dengan pihak kedutaan Jepun petang ini, untuk mengesahkan maklumat yang kita perolehi itu benar atau sebaliknya.

“Sekiranya pihak Jepun masih menyimpan senarai buruh atau mangsa-mangsa dari Malaysia ini sila majukan kepada kami,” katanya ketika ditemui.

Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang turut mendedahkan beberapa surat pengesahan dan dokumen rasmi kepada wakil Kedutaan Jepun berkenaan.

Dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini, Nizar mendakwa, Tokyo membayar RM207 bilion kepada kerajaan Malaysia sebagai pampasan kepada buruh paksa pembinaan keretapi itu.

Namun sehingga kini, tidak ada sebarang wang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada mangsa atau waris mereka.

Menurut Nizar, pihaknya sehingga kini tidak tahu di mana pampasan itu berada sama ada masih disimpan di dalam Perbendaharaan Negara atau Amanah Raya kerana tidak ada sebarang penjelasan dibuat kerajaan sehingga kini.

“Kita tidak tahu. Kalau wang itu masih ada dalam simpanan kerajaan kenapa tidak diberi balik kepada mangsa.

“Mangsa ada 30,000 yang boleh balik semula ke Malaysia walaupun ada yang meninggal dunia tetapi mereka masih ada waris melalui Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Burma 1942-1946,” katanya lagi.

Mengikut rekod persatuan bekas buruh paksa ini, jumlah 30,000 buruh ini melibatkan 60 peratus bangsa Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus bangsa lain.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas