17 January 2013

Lajim Ukin Mahu Ramai Lagi Tampil Dedah Projek IC Sabah

Desak k’jaan henti beri IC kepada pendatang haram undi BN

KUALA LUMPUR 16 Jan: Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin mahu lebih ramai saksi tampil membuat pendedahan berhubung projek IC (kad pengenalan) Sabah.

Beliau berkata, pendedahan bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mohd Nasir Sugip itu membuktikan sememangnya wujud penyelewengan dalam pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah untuk tujuan mengundi.


“Saya menyokong penuh tindakan berani bekas kakitangan JPN yang membuat pendedahan bahawa ada arahan pihak tertentu dalam pemberian kad pengenalan dalam usaha untuk mendapat undi.

“Saya minta semua pihak yang pernah terlibat perlu tampil untuk membuat pendedahan jika mempunyai bukti penyelewengan dan perkara ini amat penting untuk keselamatan rakyat negara ini dan Sabah,” katanya dipetik Harakah Daily.

Beliau mengulas pendedahan Nasir kepada Suruhanjaya Diraja (RCI) hari ini berhubung kerjasama pihak berkuasa untuk mengubah demografi pemilih Sabah pada tahun 1990-an.

Nasir berkata, jabatannya pernah menerima arahan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri untuk memberi kad pengenalan kepada pendatang asing bagi membolehkan mereka mengundi.

Nasir yang pernah ditahan bawah ISA sebelum ini mendakwa operasi yang digelar “Ops Durian Buruk” itu dijalankan antara tahun 1992 hingga 1995.

Dakwanya, pengarah SPR Sabah pada masa itu, Wan Ahmad Wan Yusof menyerahkan senarai 16,000 nama untuk diklasifikasikan sebagai pengundi “Bumiputera Islam”.

Menurut Lajim lagi, beliau tidak pernah menolak pemberian kad pengenalan kepada mana-mana individu jika ia menepati perundangan yang sedia ada, tetapi jika pemberian itu diberikan untuk kepentingan politik dan melalui proses yang salah, tindakan tersebut perlu ditentang sepenuhnya.

Pada masa sama, beliau menyambut baik penubuhan RCI ini dalam menyelesaikan masalah imigrasi Sabah, namun mendesak agar kerajaan menghentikan segera pemberian IC melalui proses yang bertentangan sistem perundangan.

“Kita desak agar kerajaan menghentikan segera pemberian kad pengenalan tanpa proses yang betul.

“Penubuhan RCI tidak akan berkesan jika aktiviti sedemikian masih diteruskan,” sambung beliau.

- keadilandaily.com/


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas