BlogList Malaysia

31 January 2013

Khalid mahu PM segera bubar Parlimen, Selangor siap PRU 13

SHAH ALAM 31 Jan: Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, hasratnya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebagai inisiatif supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan segera tarikh Pilihan Raya Umum ke-13.

“Inisiatif saya ini akan mengerakkan Perdana Menteri untuk tarikh pilihan raya. Penekanan saya (untuk mengadakan) pilihan raya secepatnya sebab kita hampir melengkapkan penggal.


“Saya tak nak rakyat terunggu-tunggu bila pilihan raya diadakan. Ia isu strategik. Ini (kelewatan pilihan raya menyebabkan) pembaziran masa, sumber manusia dan memperbanyak spekulasi,” katanya pada sidang media di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini hari ini.

Khalid berkata, setiap negeri mempunyai hak untuk membubarkan DUN masing-masing, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya bertugas menjalankan pilihan raya.

MB“Menteri Besar dan Exco mempunyai keupayaan untuk membubarkan Dewan Negeri, tapi tarikh penentuan pilihan raya ditentukan oleh SPR. Dalam waktu 60 hari pembubaran, mesti diadakan pilihan raya,” jelasnya.

“Pada saya, kalau tahun lepas atau sebelum ini munasabah (untuk menunggu). Tapi kita patut adakan pilihan raya sekarang.

“Kalau kita dah bersetuju untuk wakili rakyat selama lima tahun, apabila sampai masanya untuk teruskan kerja, kita mesti minta mandat (semula) daripada rakyat,” kata Khalid.

Dalam pada itu, Khalid berkata, Sultan Selangor mengetahui mengenai cadangan membubarkan Dewan Negeri dan bercadang akan mengadap Baginda dalam masa terdekat.

“Kita akan adakan perbincangan dan proses yang lebih rapi. Sebab selepas 22 April, Dewan akan terbubar dengan sendiri. Tak ada siapa kata tak boleh bubar,” tegasnya.

Menurut Khalid, Pakatan Rakyat Selangor tidak mempunyai masalah tentang calon di mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

“Selangor telah bersedia. Tidak ada isu sama ada wujud senarai atau tidak. Tidak boleh tak ada senarai (calon). Senarai mesti ada dan kita akan adakan perbincangan dengan Majlis (pimpinan Pakatan Rakyat Selangor),” katanya.

Beliau terdahulu melancarkan Sistem Pengurusan Sosial Negeri Selangor di Auditorium, Dewan Jubli Perak, Bangunan SSAAS (SUK), pagi ini.

Turut hadir, Exco Pendidikan Selangor, Dr Halimah Ali bersama lebih 500 ketua kampung, wakil rukun tetangga dan pemimpin masyarakat Selangor.

- keadilandaily


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas