BlogList Malaysia

29 January 2013

Banglo: Fauzi telus, sedia disiasat SPRM

KUALA LUMPUR: bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari hari ini menyatakan kesediaan untuk disiasat berhubung banglo miliknya yang dimainkan bloger Umno.

Katanya, beliau mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan sekiranya ada pihak ragu-ragu terhadapnya.


Dalam pada itu beliau menjelaskan banglo dua tingkat setengah miliknya di Seksyen 10, Shah Alam itu dibelinya pada 2004 dengan harga RM15 setiap kaki dengan harga istimewa sebagai kakitangan awam ketika itu.

“Ketika itu nilai tidak sampai RM1juta pun. Malah, pembinaan rumah itu dibuat secara berperingkat-peringkat dengan mengamalkan penjimatan ketika bekerja dalam kerajaan termasuk wang simpanan bersama isteri.

“Saya juga turut menjual dua buah rumah teres di kawasan Gombak dan Shah Alam untuk membina rumah dua tingkat setengah itu,” katanya dipetik Sinar Harian Online.

Mengulas lanjut, Fauzi menjelaskan, walaupun hampir 10 tahun berlalu, rumah itu pun masih belum siap sepenuhnya dan walaupun beliau bersama keluarga telah menduduki banglo terbabit setahun lalu.

“Harga dulu berbeza dengan sekarang dan logiklah jika orang ramai tertanya-tanya dengan satu-satunya harta saya itu. Empat anak lelaki saya turut membantu memberi dana,” katanya.

Pendedahan itu juga jelasnya tidak sedikitpun menjejaskan reputasinya kerana beliau mendakwa telus dalam perkara itu.

“Saya langsung tidak berasa risau dengan pendedahan itu dan tidak menjejaskan gerak kerja saya untuk memenangi hati pengundi-pengundi di Parlimen Larut.

“Malah, tiada istilah takut dengan pengundi kerana saya telus terhadap perkara ini dan rakyat lebih memahami pemimpin mereka,” katanya.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas