KABUL 13 Dis. - Tentera Syria meningkatkan serangan ke atas pemberontak dengan menggunakan peluru berpandu Scud sejak beberapa hari lalu, sekali gus meletakkan konflik di Syria semakin meruncing.
Pegawai-pegawai Amerika Syarikat (AS) mendedahkan perkara itu, semalam dengan mendakwa tentera Presiden Bashar al-Assad melancarkan peluru tersebut dari Damsyik ke utara Syria.
Seorang pegawai yang tidak mahu dikenali menganggarkan tentera Syria melancarkan lebih enam peluru berpandu Scud, mengesahkan maklumat awal yang dilaporkan The New York Times.
Keadaan itu berlaku pada hari yang sama lebih 100 negara, termasuk Amerika Syarikat (AS), mengiktiraf pemberontak Syria sebagai wakil sah penduduk Syria, sekali gus memberi tekanan kepada pemerintahan Assad.
Beliau bagaimanapun berkata, tiada petunjuk senjata kimia digunakan dalam peluru berpandu itu.
Menurutnya, sejak minggu lalu pihaknya bimbang kelebihan yang diperolehi pemberontak memaksa Assad menggunakan senjata jenis itu.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland turut mengesahkan tentera Assad menggunakan peluru berpandu ke atas pemberontak, namun tidak menyatakan jenisnya.
Pemerintahan beliau (Assad) berada dalam keadaan tertekan menyebabkan tenteranya melancarkan lebih banyak senjata dan yang terbaharu, kami menerima laporan peluru berpandu mula ditempatkan di beberapa kawasan," kata beliau.
Sementara itu, beberapa letupan berlaku di luar Kementerian Dalam Negeri Syria semalam, menyebabkan tujuh maut, manakala 50 lagi cedera, menurut pegawai keselamatan.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Mohammad al-Shaar dan beberapa pegawai tinggi kementerian itu terselamat dalam kejadian tersebut. - AGENSI
0 Komen :
Post a Comment