25 December 2012

Sumber air mentah Selangor mengcukupi hingga 2030

SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yakin, sekiranya usaha dilakukan untuk menyimpan sebanyak 40% sahaja daripada jumlah air larian permukaan di negeri ini, sumber air mentah di Negeri Selangor boleh dimanfaatkan sehingga tahun 2030.

Menurut kenyataan Haji Md. Khairi Bin Selamat, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor.

Berdasarkan Kajian Semula Sumber Air Negara (2000-2050), jumlah air larian permukaan di Negeri Selangor adalah sebanyak 17,000 JLH setelah mengambil kira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi.


Manakala jumlah air yang diabstrak untuk bekalan air kepada penduduk adalah sebanyak 4501JLH.

Kenyataan beliau ini menjawab kenyataan yang dibuat oleh bekas Presiden MCA yang juga anggota Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Kiat.

Justeru, katanya, kenyataan oleh Anggota Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat di Bernama berkenaan penyusutan bekalan dan ketiadaan sumber baru air mentah di Negeri Selangor adalah tidak tepat memandangkan usaha-usaha sedang giat dijalankan.

Menurut beliau, melalui pemantauan LUAS, sehingga 20 Disember 2012, kapasiti air bagi Empangan Tasik Subang, Empangan Semenyih, Empangan Langat, Empangan Klang Gates dan Empangan Batu adalah penuh pada tahap 100%.

Limpahan air juga berlaku bagi Empangan Tasik Subang, Empangan Langat serta Empangan Semenyih.

Manakala kapasiti air bagi Empangan Sungai Tinggi pada tarikh yang sama adalah pada tahap 93.33%.

Bagi Empangan Sungai Selangor pula, katanya, sehingga 20 Disember 2012, kapasiti air empangan tersebut telah meningkat kepada tahap 90.17% iaitu sebanyak 207.40 juta meter padu pada ketinggian 216.65 meter.

Peningkatan ini adalah berbanding dengan kapasiti air empangan tersebut pada 11 Oktober 2012 iaitu sebanyak 52.02% dengan jumlah 119.65 juta meter padu pada ketinggian 199.3 meter.

Selain itu, baki aliran (residual flow) di Baraj Bestari Jaya pada 20 Disember 2012 adalah sebanyak 4611 juta liter sehari (JLH).

Jumlah aliran air sungai mampu untuk membekalkan keperluan air mentah bagi lima loji pembersihan air (LPA) di Rasa, Rantau Panjang dan Bestari Jaya.

Bacaan harian baki aliran ini adalah tinggi berbanding dengan jumlah minima keperluan aliran sebanyak 300 JLH.

Manakala pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor telah dikurangkan sehingga 91.34 JLH pada 20 Disember 2012.

Pengurangan pelepasan air ini adalah berbanding 521.3 JLH pada 11 Oktober 2012. Corak dan purata paras air Empangan Sungai Selangor dari bulan Januari sehingga November 2012 ditunjukkan di graf di bawah.



Menurut Haji Md. Khairi lagi, kapasiti Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi ini dijangkakan akan terus meningkat hasil daripada kadar hujan yang banyak ketika Monson Timur Laut daripada bulan November sehingga Mac.

"Berdasarkan kadar peningkatan takungan, kapasiti kedua-dua empangan ini dijangka akan kembali penuh sebelum bulan Februari 2013," katanya.

Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS, katanya, telah mengambil langkah untuk meningkatkan lagi kebolehdapatan sumber air di kawasan lembangan sungai selain daripada empangan sedia ada.

LUAS telah mengenalpasti lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber air tambahan seperti Kolam Projek Tebatan Banjir Sungai Rasau di Lembangan Klang dan juga Kolam Bestari Jaya di Lembangan Selangor yang akan bertindak secara dwifungsi dimana ianya akan berfungsi sebagai kawalan tebatan banjir dan juga kolam penstoran air ketika berlakunya aliran banjir/flood flow.

Kolam penstoran air ini juga akan digunakan jika berlakunya aliran rendah/low flow.

LUAS telah mengenalpasti sebanyak dua puluh (20) kolam takungan samada kolam takungan banjir atau kolam bekas lombong yang juga berpotensi untuk dijadikan sumber air tambahan di Daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Kolam-kolam berkenaan adalah merupakan rizab simpanan air mentah yang boleh dibangunkan sebagai sumber air tambahan tertakluk kepada kualiti airnya. Jumlah anggaran kapasiti kolam-kolam tersebut ialah 325 juta meter padu.

Selain itu, beberapa lokasi lain yang mempunyai potensi yang sama sebagai sumber air tambahan dikenal pasti oleh LUAS, seperti kolam bekas lombong MC8 dan MC9 di Lembangan Langat.

Kajian kemungkinan yang terperinci akan dilaksanakan bagi memastikan kebolehdapatan sumber air berkenaan.

Kriteria yang perlu dilihat untuk kolam-kolam ini digunakan sebagai sumber air tambahan adalah keluasannya yang perlu melebihi 10 hektar, kualiti airnya yang perlu mencapai piawaian air minuman oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, lokasinya yang berhampiran dengan sungai dan muka sauk/LPA, serta ianya adalah tanah milik kerajaan dan anak syarikat kerajaan.



(Paras air di empangan Sunfai Tinggi pada Oktober 2012)

Di dalam masa yang sama juga, kata Haji Md. Khairi, LUAS sedang di dalam proses pelaksanaan aplikasi River Bank Filteration (RBF) dan juga pembangunan sumber air bumi (sehingga 15%) yang dijangkakan mampu menyumbang kepada peningkatan kebolehdapatan sumber air di Negeri Selangor.

"Sekiranya segala inisiatif ini mendapat kerjasama daripada semua pihak, bekalan air mentah di Negeri Selangor adalah mencukupi untuk menampung peningkatan permintaan air," kata Pengarah LUAS itu penuh keyakinan.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas