KUALA LUMPUR – Tindakan lanjut terhadap individu yang dipercayai mencetuskan provokasi dan kekecohan dalam program dianjurkan Pakatan Rakyat (PR) seolah-olah tersekat kerana didakwa mempunyai kaitan dengan ‘tangan-tangan hitam'.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendakwa, ‘tangan-tangan hitam’ itu dikatakan cuba melindungi mereka yang bertindak kasar sehingga menyebabkan ada penyokong tercedera.
“Sebelum ini, insiden seperti ini pernah berlaku di Lembah Pantai, tapi tidaklah sampai seperti di Gombak (program Jelajah Mesra Rakyat). Semua sudah kita dokumentasikan (buat laporan polis) tapi malangnya masih lagi dilindungi.
“Jadi pada saya, jelas bahawa ada cubaan ‘tangan-tangan hitam’ yang melindungi pemukul serta mereka yang bertindak kasar.
"Saya pasti, ada arahan keluar kepada pihak polis untuk tidak menangkap individu yang memukul dan membaling batu,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Mesra Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung insiden provokasi yang berlaku pada malam Jelajah Merdeka Rakyat yang turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Gombak, 4 Disember lalu.
Dalam kejadian itu, terdapat penyokong PKR dan Umno dilaporkan mengalami kecederaan termasuk terkena tikaman.
Susulan insiden tersebut, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, PR akan mengadakan perbincangan bagi mempertimbangkan langkah selanjutnya yang akan diambil memandangkan ia melibatkan keselamatan orang ramai.
“Jika tidak, ia akhirnya memberi insentif dan galakan kepada ramai lagi buat lebih banyak dan lebih teruk kepada pimpinan PR.
"Ini yang harus rakyat tentang kerana akhirnya rakyat tak berdosa yang terkena seperti mereka yang hadir ceramah atau kebetulan ada di situ,” katanya.
Beliau menegaskan, PR menolak politik ganas seperti yang berlaku di Gombak dan meminta agar mereka diberi ruang berkempen kepada rakyat dengan cara sihat.
“Apa pun yang kita mahukan dalam Malaysia, konteks pelbagai parti yang bertanding, perlulah gaya sihat,” katanya.
Pada majlis itu, Nurul Izzah beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga ketika program ‘walkabout’ di Pasar Tani PPR Kerinchi serta Balaji Mini Market, Kondo Rakyat. - SinarHarian
Kedah: Tiga termasuk suami isteri maut kemalangan
17 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment