23 December 2012

Keluarga Aktivis Dipenjara Disaran Saman Pendakwaraya


SHAH ALAM, 22 DIS : Keluarga aktivis mahasiswa ‘Occupy Dataran Merdeka’, Umar Mohd Azmi yang dipenjara sebulan dan denda RM1,000 disarankan untuk menyaman pihak pendakwaraya yang menyebabkan proses rayuan tidak dapat dijalankan.


Ketua AMK Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak media kes itu tidak sempat dibuat rayuan kerana ketiadaan pendakwaraya.

“Ini perkara yang memalukan kerana seseorang itu boleh dibebaskan atau ditangguhkan sementara hukuman itu sementara menunggu rayuan.

“Jadi jika pihak pendakwaraya tidak ada, itu menunjukkan mereka tidak serius untuk memastikan keadilan itu ditegakkan,” kata Shamsul ketika dihubungi TVSelangor.

Umar dibawa ke Penjara Kajang petang semalam bagi menjalani hukuman tersebut, selepas gagal mendapat pendengaran penangguhan pelaksanaan hukuman terhadapnya.

Ujar Shamsul lagi, adalah tidak adil apabila seseorang itu dihukum penjara atau ditahan dalam keadaan di mana beliau mempunyai peluang untuk hukumannya ditanguhkan sementara menunggu rayuan.

“Sewajarnya Umar ini tidak perlu ditahan dan dipenjara sementara menunggu rayuan.

“Tindakan menghukum pelajar itu adalah zalim dan memberikan kesan buruk kepada proses demokrasi negara,” katanya.

Sementara itu, laporan laman web menunjukkan sekumpulan aktivis mahasiswa telah berkhemah di hadapan Penjara Kajang sehingga Isnin ini sebagai tanda protes terhadap keputusan mahkamah.

Jurucakap Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syaza Muaz Sharudin, 22, berkata, kumpulan mereka telah mula berada di hadapan penjara itu sejak malam tadi dan tidak akan berganjak sehinngga keputusan rayuan didengar, Isnin ini.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman terhadap Umar kerana didakwa menghalang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tugas semasa serbuan terhadap gerakan mahasiswa pada April lalu.

Umar didakwa pada 23 April mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang Mohd Masran Mamat daripada “menangkap dan mengiringi” aktivis Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin.

Insiden itu didakwa berlaku semasa serbuan mengejut DBKL ke atas perkhemahan protes di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada jam 8 pagi 22 April lalu.

Aktivis siswa berkhemah di dataran tersebut sebagai bantahan mereka terhadap Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang didakwa mereka tidak adil.

http://www.selangorku.com/?p=20350


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas