12 December 2012

Chua Jui Meng ditolak, dihimpit samseng MIC dalam pejabat JPN

PUTRAJAYA 12 Dis: Kira-kira 30 samseng dipercayai dari MIC mengasari Naib Presiden KEADILAN, Datuk Chua Jui Meng di ruang pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya hari ini.

Mereka yang dibenar masuk dan berkumpul dalam pejabat tersebut, ketika ribuan rakyat berhimpun di pekarangan luar bangunan dan dihalang memasuki JPN, menolak bekas Menteri Kesihatan itu semasa beliau baru keluar dari bilik mesyuarat di situ.


Jui Meng (gambar, kiri) antara pimpinan Pakatan Rakyat yang dibenarkan masuk bertemu Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said untuk rundingan permohonan kad pengenalan biru.

Pemimpin KEADILAN lain yang turut dibenar masuk adalah Naib Presiden, N Surendran; Pengarah Guaman, Latheefa Koya dan Ahli Parlimen (MP) Subang, Sivarasa Rasiah.

Selebihnya diwakili MP Klang, Charles Santiago dari DAP, sementara PAS pula oleh MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan MP Shah Alam, Khalid Samad.

“Bila keluar dari bilik mesyuarat, kami bertembung dengan kira-kira 30 pemuda yang mula agresif menjerit-jerit kuat menyerang kumpulan kami. Mereka fokus dan tuju kepada saya.

“Saya ditolak. Cara mereka bercakap seperti menyoal, tetapi berniat nak takutkan kita. Mereka himpit saya dan saya angkat tangan (isyarat) supaya mereka berundur, tapi mereka buat (himpit) juga,” katanya kesal kerana polis tidak mengambil sebarang tindakan.

“Kita (peserta Duduk Bantah) dihentikan oleh polis (untuk masuk ke JPN). Sedangkan ramai pimpinan termasuk Ahli Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat hadir nak suarakan pendapat mereka,” kata Pengerusi KEADILAN Johor itu ketika ditemui Keadilan Daily selepas diserang.

Jui Meng berkata, serangan berkenaan membuktikan ‘virus’ samseng politik Umno berjangkit kepada MIC.

“Sudahlah tak bela kaum India, malah bertindak ganas kepada kita yang nak perjuangkan hak kaum mereka. MIC seperti orang hilang akal.

“Kerajaan seolah-olah membenarkan tindakan agresif seperti ini,” kata Jui Meng.

“Kenapa mereka (peserta himpunan) dihalang? Mengapa pula polis benarkan 30 pengacau itu masuk, tunggu dekat bilik mesyuarat dan serang. Sedangkan kita datang secara aman,” sambungnya.

“Saya nak pesan pada mereka, walaupun mereka ramai tetapi kita akan teruskan (perjuangan). Di sini bukan hanya orang India sahaja, ada Melayu dan Cina. Tapi kita akui isu kad pengenalan ini isu penting orang India,” katanya.

Sementara itu, Latheefa memaklumkan, video bukti serangan oleh kumpulan samseng itu ada padanya.

“Mereka datang dan berkata kepada Datuk Chua – “Tahniah apa yang Datuk buat, tapi mana 300,000 orang itu?” dengan nada kasar.

“Isunya bukan 300,000 itu ada atau tidak. Isunya ialah, tidak boleh ada rakyat yang tidak mempunyai kerakyatan,” tegas
Latheefa.

Menurutnya, ekoran desakan rakyat yang berhimpun, hanya 500 borang diisi sejak meja pendaftaran dibuka pegawai JPN dengan bantuan sukarelawan KEADILAN kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Latheefa berkata, semua borang permohonan kad pengenalan biru itu berjaya dihantar hari ini.

“Peliknya, program MyDaftar yang dianjurkan MIC boleh selesaikan 14,000 borang dalam masa lapan hari. Kalau ikut nisbah, bermakna sehari boleh selesaikan 2,000 orang.

“Tapi kenapa hari ini hanya ambil 500 borang sahaja? Ramai yang dah balik sebab kecewa,” kata Latheefa.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=41105


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas