BlogList Malaysia

25 November 2012

Terkini - 15,000 aktivis Himpunan Hijau hampiri Dataran


Dianggarkan 10,000 aktivis meneruskan perarakan jalan kaki menuju Dataran Merdeka walau pihak berkuasa melakukan sekatan di kawasan tumpuan popular itu.

Perarakan hari ini melibatkan jarak terakhir sejauh 42 kilometer daripada kawasan bekas ibu pejabat PAS di Gombak – tempat mereka bermalam pada malam tadi.



Ia dimulakan dengan penyertaan seramai 2,000 aktivis, termasuk beberapa keluarga, dikawal anggota unit amal PAS dengan pemerhatian anggota polis.

Seorang peserta, BC Tan, 30, dari Pulau Pinang yang menginap di Markaz Tarbiyah PAS, Taman Melewar malam tadi, beliau berasa terharu apabila mereka disambut baik untuk bermalam di sana.

"Bagus. Tempat itu semua kemudahan ada. Kita juga Disambut baik.

"Saya terharu dapat duduk sana sebab jarang pergi," katanya yang mula mengikuti perarakan ini dari Taman Rimba, Gombak.


Kumpulan itu mengibarkan bendera Himpunan Hijau dan melaungkan slogan "Hentikan Lynas" sepanjang perjalanan melalui Lebuhraya DUKE, Kampung Railway dan Sentul Pasar.

Antara yang menarik perhatian orang ramai ialah seorang peserta dari Pahang, yang memulai perarakan dari Kampung Awah di Pahang dengan memusingkan gegelung hula hoop di badannya.

Katanya, beliau akan berhenti memusingkan ketika berhenti rehat.


"Saya tak berhenti dari Kampung Awah. Saya pusingkan benda ini. Bila makan baru saya berhenti," katanya.

Ketika berhenti rehat di Kampung Railway, ketua kumpulan berkenaan Wong Tack dalam ucapannya memberi pesanan bahawa Dataran Merdeka bukanlah destinasi mereka yang terakhir.

"Kita akan bermalam di sana dan menunggu matahari terbit esok," katanya.

Beberapa kumpulan lagi menyertai kumpulan besar itu beberapa lokasi sekitar laluan perarakan - menjadikan jumlah peserta bertambah kepada 5,000 orang.

Kumpulan berkenaan seterusnya melalui Jalan Sentul, Jalan Ipoh dan Jalan Tun Razak dengan disambut dengan bunyi hon oleh pengguna kenderaan di jalan berkenaan.

Kumpulan seramai 5,000 orang itu kemudiannya dianggarkan bertambah menjadi 10,000 orang apabila bergabung dengan satu kumpulan lagi di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Ismail di pusat Bandar Kuala Lumpur.

Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada 15,000 orang apabila kumpulan berkenaan tiba di persimpangan Jalan Perak - Jalan Tuanku Abdul Rahman pada kira-kira jam 4.50 petang.

Kumpulan berkenaan seterusnnya membanjiri sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kawasan sekitar kawasan Dataran Merdeka memandangkan lokasi berkenaan ditutup pihak berkuasa.

Turut dilihat dalam perarakan itu ialah dua MP PKR Tian Chua serta Nurul Izzah Anwar dan juga pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas