07 November 2012

'Saya tidak akan sabotaj jikapun digugurkan'

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau tidak akan merajuk mahupun mensabotaj parti sekiranya tidak dicalonkan semula untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurut Abdul Rahman yang juga Naib Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional, apa yang penting adalah kesediaan beliau untuk terus berbakti dan berkhidmat kepada masyarakat meskipun tidak bergelar wakil rakyat kelak.


"Saya tidak ada masalah, jadi calon atau tidak jadi calon... itu perkara nombor dua kepada saya. Kalau misalnya saya tidak dipilih menjadi calon nanti, tidak apa, OK," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian Online.

"Saya kira calon-calon yang berminat termasuk saya sendiri, saya berjanji kalau saya tidak terpilih pun sebagai calon di Kota Belud atau di mana-mana pun, saya berjanji, pertama, saya tidak akan tutup bilik gerakan, saya tidak akan sabotaj, saya tidak akan merajuk.

"Saya tidak akan membubarkan jawatankuasa kempen saya. Saya akan turun ke padang siang dan malam berceramah memastikan kemenangan Umno-Barisan Nasional di Kota Belud. Itu janji saya," kata wakil rakyat penggal pertama ini dengan penuh semangat.

Abdul Rahman menang pada Pilihan Raya Umum 2008 atas tiket BN dan menewaskan calon PKR.

Beliau ditanya pandangannya berhubung pengumuman calon Umno-BN yang akan dibuat lebih awal pada pilihan raya kali ini.

"Saya kira kalau kita sayangkan parti, sayangkan perjuangan, kalau kita betul-betul hendak berjuang dan berkhidmat kepada rakyat, ya... soal calon ini memang penting, semua pemimpin parti mahu menjadi calon. Tetapi kalau tak jadi wakil rakyat, tidak bermakna kita bukan pemimpin.

"Jadi pada saya, sama ada diumumkan calon itu awal atau lambat, kedua-duanya mempunyai kebaikan dan keburukan," jelas beliau lagi yang juga Setiausaha BN Sabah.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, "saya setuju dengan pandangan Khairy Jamaluddin, mungkin ia sesuai untuk keadaan-keadaan tertentu yang mana kita memerlukan masa untuk memperbaiki keadaan jika pengumuman itu dibuat terlalu singkat."

Khairy yang merupakan Ketua Pemuda BN sebelum ini berpendapat jarak masa dua minggu atau selewat-lewatnya sebulan sebelum pilihan raya umum adalah tempoh paling sesuai sekiranya cadangan menamakan calon-calon BN lebih awal mahu dilaksakan.

Ini kerana katanya, bukan setiap kawasan bersedia diumum calon awal disebabkan faktor dalaman dan risiko lain yang perlu ditangani terlebih dahulu.

"Nak umum sekalipun jangan umum enam bulan sebelum pilihan raya. Daripada kita umum dua hari sebelum penamaan calon, BN boleh umum dua minggu atau sebulan, itu paling sesuai," beliau dipetik sebagai berkata.

Pada 26 Oktober lepas, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, BN berkemungkinan akan menamakan calon PRU13 lebih awal berbanding pilihan raya sebelum ini.

- SinarHarian


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas