Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin agar tidak menjadi alat kepada orang lain untuk menyerang tokoh-tokoh seagama dan sebangsa yang telah mencapai kejayaan.
Ketua Penerangannya, Ruslan Kassim berkata, kenyataan Bung Moktar yang mendakwa tokoh korporat Melayu, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary memonopoli semua jenis perniagaan di negara ini menimbulkan rasa hairan dan pelik orang ramai.
"Semua projek yang diperoleh tokoh korporat Melayu itu adalah mengikut prosedur biasa dan telah pun disempurnakan dengan jayanya.
"Jelas sekali, perbuatan Bung Moktar ini samalah seperti cerita ketam dalam bakul yang akan menarik kawan mereka yang lain supaya semua tidak dapat keluar dari bakul," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Bung Moktar dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin yang mengkritik Syed Mokhtar dengan menyifatkannya sebagai cuba memonopoli semua jenis perniagaan di negara ini sama ada di darat, di laut mahupun udara.
Sementara itu, Ruslan turut menyindir Bung Moktar yang tidak pula dilihat lantang untuk mempersoalkan projek-projek yang telah diperoleh oleh tokoh korporat lain seperti T. Ananda Krishnan, Tan Sri Vincent Tan dan lain-lain.
"Sepatutnya beliau berbangga kerana ada anak Melayu dan Islam yang berdiri sama tinggi dengan bangsa lain dan telah menempa nama dalam bidang perniagaan.
"Sepatutnya, kita sebagai saudara seagama perlu memberikan penghargaan kepada Syed Mokhtar yang telah memberi sumbangan untuk membangunkan negara tercinta ini," ujarnya.
utusek.com.my
Bunuh rakan senegara, polis buru lelaki Indonesia
8 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment