BlogList Malaysia

30 September 2012

Perdana Menteri Meroyan Lagi..

Najib: Pakatan tidak sehaluan, tiada ‘kredibiliti’ jadi kerajaan pusat

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Pakatan Rakyat (PR) tidak mempunyai kredibiliti untuk menjadi kerajaan kerana tidak mempunyai pasukan yang sehaluan.

Beliau yang merupakan pengerusi Barisan Nasional berkata, ketiga-tiga parti dalam PR dilihat sering bercanggah antara satu sama lain jika berbanding dengan Barisan Nasional (BN).



“Kalau kita lihat dari segi isu hudud pun, PAS kata dia mahu buat, tapi DAP kata tidak, bahkan Karpal Singh pernah berkata, ‘over my dead body’ (langkah mayat saya dulu).”

“Kita bimbang jika mereka menubuhkan kerajaan, mereka tidak sehaluan dan akhirnya negara ini goyang,” kata Najib dalam ucapannya merasmikan Mesyuarat Agung Parti Gerakan di ibu pejabat parti, hari ini.

Najib (gambar) berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan satu kerajaan yang bergerak secara berpasukan, dan jika ada konflik dalaman, BN akan cuba menyelesaikan dengan perbincangan dan secara berkompromi.

Beliau juga mencabar PR untuk menubuhkan Kabinet bayangan sebelum bercita-cita menubuhkan kerajaan.

“Saya mencabar Pakatan Rakyat, tunjukkan kabinet bayangan dahulu sebelum bercerita mahu menubuhkan kerajaan.

“Kami ada pasukan kami,dan tunjukkan pasukan anda.

“Tapi, mereka tidak ada kabinet bayangan kerana mereka takut untuk memberi jawatan, tak tahu bagaimana nak membahagi kerja,” kata Najib lagi.

Najib juga memuji komitmen dari Presiden Parti Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon atas kerja keras beliau bagi memastikan gerak kerja akar umbi BN di Pulau Pinang berjalan lancar.

“Oleh itu saya yakin bahawa kita akan beri tentangan sengit di Pulau Pinang, bahkan kita akan menawan Pulau Pinang kerana Umno,MCA,MIC dan khususnya Gerakan di Pulau Pinang sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya,” katanya lagi.

Najib juga menempelak Ketua Menteri Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng yang disifatkan sebagai “angkuh”.

“Apabila Lim berkata tentang CAT atau ‘credibility,accountability and transparency’ (kredibiliti, akauntabiliti dan ketelusan), timbalannya pula berkata tentang CAT tetapi ‘cocky, arrogant and tokong’ (berlagak, angkuh dan tokong),” merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mansor Othman terhadap Lim.

“Tokong” ialah merujuk kepada orang yang berbangsa Cina, yang kebanyakannya beragama Buddha.

“Macam ni nak jadi kerajaan? Mereka mentadbir Pulau Pinang yang maju kerana sebelum ini kerajaan Barisan Nasional dari Tun Dr Lim Chong Eu, hingga Tan Sri Koh (Tsu Koon), telah mentadbir Pulau Pinang dengan baik,” kata Najib lagi.

Koh, yang merupakan presiden Gerakan, juga ketua menteri Pulau Pinang selama 18 tahun, dari 1990 hingga Mac 2008 apabila beliau tewas dalam pilihanraya ke-12.

Najib juga berkata, kerajaan BN telah membentangkan bajet yang bertanggungjawab, bukan seperti PR yang hanya mahu berjanji bulan, bintang dan cakerawala hanya untuk memenangi pilihan raya.

“Kerana kita sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, maka kita lebih baik dari Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-pakatan-tidak-sehaluan-tiada-kredibiliti-jadi-kerajaan-pusat1/



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas