BlogList Malaysia

16 September 2012

Kroni - Setpol Jawab Fitnah Ke Atas MB Kedah

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak terus menjadi mangsa fitnah terbaru blogger pro-Umno, apabila dikatakan menyerahkan projek tanpa tender meneroka kawasan galian di Mukim Temin, Kubang Pasu, bernilai jutaan ringgit kepada syarikat kroni.

Difahamkan, surat daripada Perbadanan Menteri Besar Kedah kepada sebuah syarikat terbabit didedahkan secara meluas di laman-laman blog adalah bukti dakwaan itu.

Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, yang menafikan syarikat berkenaan adalah kroni Azizan dan mempunyai ikatan persaudaraan dengan pemilik syarikat terbabit.


Muhammad Sanusi berkata, galian kuarza ditemui di kawasan hutan oleh sebuah syarikat yang meneroka dan membawa penemuan itu kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) untuk mengadakan jalinan kerjasama.

Memandangkan kawasan berkenaan bukan tanah milik MBI, MBI menganugerahkan kepada syarikat terbabit untuk diusahakan.

“Satu perjanjian usahasama dimeterai antara MBI dan syarikat itu. Antara persetujuan permohonan hak milik tanah dan permit galian dibuat oleh MBI supaya tanah itu terus menjadi milik kerajaan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelantikan operator untuk mengeluarkan quartz bawah urusan syarikat terbabit,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Azizan mengakui mengenali pemilik syarikat itu tetapi tiada pertalian darah.

“MB jelaskan di semua syarikat kita ada kumpulan pengurusan profesional yang uruskan kerja, kalau semua MB buat, mereka nak buat apa?,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Azizan turut dimaklumkan mengenai dakwaan blogger Umno bahawa kroni Azizan mendapat balak bernilai jutaan ringgit atas tanah berkeluasan 200 ekar, bagi mencerahkan kawasan untuk tanaman nenas.

“Berdasarkan surat didedahkan blogger itu juga, MBI meminta deposit RM1 juta dan dikira sebagai hasil kepada MBI untuk kerja mencuci dan mengeluarkan sisa kayu di atas tanah seluas 200 ekar. Syarikat itu membayar lebih daripada itu sebab turut disyaratkan membangunkan infrastruktur seperti jalan, parit dan kolam air untuk tanaman nenas,” katanya.

Menurutnya, berbanding ketika Barisan Nasional (BN), setiap hektar kawasan pembalakan, Kerajaan Negeri cuma memperoleh RM1,000 bagi hutan dara dan RM500 untuk kawasan sudah kerja.

“Sebagai perbandingan, bawah kerajaan Pakatan Rakyat, pembalakan tebang dan cuci untuk projek Ladang Sejahtera yang di tender Jabatan Perhutanan ialah RM11,000- RM12,000 sehektar. Dalam kes ini, harga ditetapkan MBI sudah melepasi harga tender yang pernah diberikan oleh Jabatan Perhutanan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, surat yang didedahkan oleh blog terbabit adalah dokumen komunikasi antara dua syarikat yang menjalin usahasama untuk pengeluaran galian kuarza, di mana urusan berkaitan projek dibuat oleh pengurusan MBI tanpa campurtangan Menteri Besar.

“MBI bukan dikawal secara langsung oleh Menteri Besar seperti zaman BN. Struktur dan pengurusan MBI sekarang, bukan dikendalikan sewenang-wenangnya. Semua polisi dan keputusan dasar diputuskan dalam mesyuarat

Lembaga Penasihat dianggotai oleh wakil-wakil berautoriti dalam bidang pentadbiran, kewangan, undang-undang dan pelaburan,” katanya.

Menurutnya, Lembaga Penasihat MBI dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan seorang Exco Kerajaan Negeri,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pemilik syarikat berkenaan bukan saudara atau kroni Azizan, kerana bertentangan dengan prinsip Menteri Besar iaitu 'melobi beliau atas alasan kawan lama, saudara, ahli atau pemimpin parti untuk mendapatkan projek adalah langkah untuk menempa kegagalan.'

“Pesan Azizan, berniagalah kerana kamu seorang peniaga, bukan kerana kamu kenal atau saudara kepada pemimpin, termasuk dirinya,” katanya, memetik kata-kata Azizan apabila diajukan dakwaan ini.

Muhammad Sanusi berkata, antara kriteria pemilihan tanah untuk dibangunkan MBI ialah kawasan yang sudah diceroboh dan diterokai secara haram oleh mana-mana pihak, untuk mengelak aktiviti penerokaan haram terus berleluasa.

Menurutnya, diharap penjelasan ini dapat melenyapkan fitnah terbaru yang dilemparkan terhadap Azizan, kerana Kerajaan Negeri sekarang telus dalam menjalankan pentadbirannya, dan bersedia disiasat jika disyaki melakukan penyelewengan.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas