Setelah ahli parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud menyaman seorang doktor di Hosptal Kuala Lumpur (HKL) kerana memfitnahnya semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini turut melakukan tindakan serupa dengan menyaman Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mashitah Ibrahim berhubung penyiaran artikelnya yang mengandungi unsur fitnah.
Saman tersebut difailkan Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pagi tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Mazwan dan Nasar. Tuan Guru Abdul Hadi menamakan Mashitah sebagai defendan pertama dan akhbar Sinar Harian sebagai defendan kedua.
Bercakap kepada pemberita, Ahmad Samsuri menyifatkan tulisan berbentuk fitnah tersebut keterlaluan dan memalukan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
"Sebelum ini kita sudah minta Mashitah dan Sinar Harian buat permohonan maaf terbuka tapi mereka tidak berbuat demikian maka kita ambil tindakan samanlah," katanya yang ditemani peguam Mazwan Johar dan Nasar Khan.
Sebelum ini, Shamsuri berkata pihaknya akan mendapatkan nasihat peguam sebelum satu langkah diambil berhubung tulisan tersebut.
Pada 2 Mac lalu, Mashitah dalam tulisannya di akhbar Sinar Harian bertajuk "Skandal seks dan krisis politik Pakatan", mengaitkan penahanan Ahli Majlis Tertinggi PKR, Badrolamin Baharon dengan beberapa skandal seks kononnya membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.
Dalam tulisannya, Mashitah menyebut Abdul Hadi pernah dikaitkan dengan skandal membabitkan anak dara kira-kira 10 tahun lalu dan mengambilnya sebagai isteri ketiga, bagaimanapun ia dinafikan Abdul Hadi.
Bagaimanapun, Sinar Harian yang menerbitkan artikel Mashitah telah membuangnya dari laman web mereka tetapi beberapa blog Pakatan Rakyat berjaya menyimpan dan mendedahkan semula di blog masing-masing.
Berikut merupakan artikel yang ditulis Mashitah.
Skandal seks dan krisis politik dalam Pakatan
Oleh Dr Mashitah Ibrahim.
Penangkapan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrolamin Baharon yang dituduh berkhalwat dengan isteri orang di Kuantan minggu lalu adalah kesinambungan krisis moral yang membabitkan ramai pemimpin pakatan pembangkang.
Gelaran ustaz dan orang kuat Anwar Ibrahim tidak menjadikan beliau kebal, malah dilaporkan dibelasah sebelum diserah kepada Jabatan Agama Islam Pahang.
Mengikut laporan, beliau mempertahankan diri dengan beri alasan cuba membantu isteri yang lari daripada suami kerana ingin menyelesaikan krisis rumah tangga.
Mungkin benar, mungkin tidak. Beliau kini direhatkan sebulan sementara kesnya disiasat.
Berlakunya penangkapan ini dalam waktu persiapan pilihan raya umum tidak lama lagi pasti meletakkan pakatan pembangkang dalam keadaan tertekan.
Mereka perlu lakukan damage control, apatah dengan pelbagai krisis yang dihadapi di Kedah (pemberontakan ahli Exco Pas terhadap Menteri Besar), Selangor (skandal curi pasir dan longgokan sampah) dan Pulau Pinang (diskriminasi terhadap orang Melayu dan projek kroni).
Kewujudan Pas yang berpuak-puak di Kelantan serta perkelahian antara parti komponen Pakatan Rakyat di Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Johor dan Perak benar-benar menguji persediaan pembangkang menghadapi PRU ke-13 nanti.
Apa pun, kes Badrul Amin mengingatkan kita kepada Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang juga pernah ditangkap berkhalwat dengan isteri kawannya sendiri di Kota Bharu kira-kira 12-13 tahun lalu.
Ketika itu beliau Ahli Parlimen Kubang Kerian. Ketika ditangkap, isteri kawannya berada di dalam bilik hotel, manakala Mohamad Sabu hanya memakai tuala.
Beliau dibicarakan di mahkamah Kelantan tetapi akhirnya dibebaskan.
Tidak kurang hebatnya cerita Adun Pas Selising ditumbuk seorang lelaki di stesen keretapi Wakaf Bharu beberapa tahun lalu kerana disyaki berzina dengan isteri orang dalam gerabak keretapi.
Khabarnya kes ini terpaksa diselesaikan sendiri oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Penyokong parti pembangkang diketahui sering menyimpan rahsia keburukan pemimpin-pemimpin mereka, terutama berkaitan skandal seks, projek atau rasuah.
Mereka cuba menonjolkan imej baik dan maksum. Namun, adakala bagai menutup bangkai dengan nyiru.
Skandal membabitkan bos Badrolamin – Anwar Ibrahim – berlarutan 20 tahun.
Dua kali dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan liwat, beliau dibebaskan atas sebab-sebab teknikal. Namun, majoriti rakyat, terutama mereka yang mengenali beliau secara rapat, tahu latar belakang dan orientasi seksnya.
Semasa diberi peluang menjawab tuduhan salah laku seks di mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 2 September 1998, Anwar menzahirkan kemarahan dengan menumbuk meja.
Beliau tidak menjawab tuduhan, malah pusing cerita mengatakan bahawa beliau juga boleh berkonspirasi menjatuhkan Presiden parti dengan menghantar wanita kepada Tun (ketika itu Datuk Seri) Mahathir Mohamad. Maksudnya, beliau diperangkap.
Turut menuduh beliau ketika itu ialah Mohamad Sabu, yang memberinya gelaran Anwar al-Jub***. Namun, bila Mat Sabu sendiri terbabit dengan skandal seks, dia ikut cara Anwar, iaitu menuduh Umno telah memerangkapnya.
Tidak mengejutkan Ustaz Badrul Amin juga juga akan menuduh Umno dalang dalam kes khalwatnya.
Presiden Pas sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pernah dikaitkan dengan skandal membabitkan anak dara kira-kira 10 tahun lalu. Beliau dikatakan mengambil gadis itu untuk dijadikan isteri ke-3. Beliau menafikan.
Begitu juga dengan bekas Speaker DUN Kelantan, yang dikatakan bernikah dengan wanita lewat 20-an dari Kemboja bernama Haseena sekitar waktu yang sama, tanpa pengetahuan isteri pertamanya.
Perkahwinan bekas Adun Pas Melor dengan wanita Kemboja yang berakhir dengan perceraian mendapat liputan media secara meluas kerana kesnya berlarutan beberapa tahun di mahkamah.
Dilaporkan bekas isterinya menuntut pampasan RM3 juta kerana mengetahui Adun Pas itu mampu serta memiliki harta yang banyak.
Rakyat jelata tidak seharusnya terpengaruh dengan gelaran ustaz atau lebai hatta tuan guru daripada kalangan pemimpin parti pembangkang. Ataupun terpegun dengan jubah yang labuh, serban yang tinggi atau janggut yang panjang.
Hakikatnya mereka adalah ahli politik yang boleh tergoda dengan wanita dan memiliki nafsu seperti orang lain.
Mereka juga boleh terpalit dengan dosa walaupun pada waktu yang sama menuduh orang lain kafir.
~jalan pulang
0 Komen :
Post a Comment