05 August 2012

Dakwa Wan Ahmad ahli Umno, polis siasat Saifudin

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail disiasat oleh polis dari Balai Putrajaya hari ini ekoran dakwaan beliau Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah ahli Umno.

Beliau disiasat atas tuduhan fitnah jenayah kerana mendedahkan kononnya SPR tidak adil atau bias

Turut serta bersama beliau adalah Latheefa Koya yang bertindak sebagai peguam dalam soal siasat tersebut.


"Polis tidak cukup sibuk," kata Saifudin dalam Twitternya ketika memaklumkan perkara tersebut.

Latheefa pula dalam Twitternya menulis, "Laporan polis dibuat oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad terhadap Saifudin kerana memberitahu media dia anggota Umno!"

Saifudin dalam kenyataannya mendakwa Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga adalah ahli Umno.

Dalam kenyataannya, Saifuddin menjelaskan nombor keahlian Abdul Aziz ialah 113804 dan berdaftar di Cawangan Sri Ampang Baru dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dalam Parlimen Ampang, Selangor.

Manakala nombor keahlian Umno bagi Wan Ahmad pula ialah 2374564 dan beliau berdaftar dalam Cawangan Kubang Bunggor DUN Chetok bagi Parlimen Pasir Mas di Kelantan.

Namun, Wan Ahmad menafikan dakwaan yang kononnya beliau adalah ahli UMNO.

Beliau berkata, dakwaan itu adalah satu pembohongan dan fitnah yang berat bertujuan merosakkan nama dan integritinya sebagai Timbalan Pengerusi SPR.

"Perbuatan itu bermotifkan politik bertujuan untuk merosakkan kredibiliti SPR sebagai sebuah badan bebas dan berkecuali. Dia (Saifuddin Nasution) perlu bertanggungjawab atas pembohongannya serta memohon maaf secara terbuka," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Ahmad berkata, beliau juga tidak pernah mendaftar sebagai ahli Umno dan dakwaan itu sebenarnya berniat jahat untuk menjatuhkan maruahnya serta merosakkan kredibiliti SPR.

Bazir masa

Sementara itu, Lathefa Koya (gambar) dalam Twitter mendakwa polis telah membazirkan waktunya yang amat berharga apabila membuat siasatan terhadap Saifudin.

Bagi beliau, polis sepatutnya menggunakan masa mereka untuk menyiasat dan menyelesaikan kes jenayah yang sebenar.

Ini kerana, masalah kejadian jenayah menjadi masalah sebenar rakyat negara ini apabila ia dilaporkan saban hari dalam media.

"Masa yang berharga dan sumber telah dihabiskan oleh polis untuk menghadapi jenayah.

"Kerajaan pula menghabiskan masa polis untuk menyiasat pemimpin pembangkang," tulis beliau dalam Twitternya.

HarakahDaily



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas