16 July 2012

PRU13 - Muhyiddin Pun Sudah Tak Sanggup Tunggu..

Muhyiddin: Tahun ini masa sesuai adakan PRU13

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan pandangannya bahawa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) tidak akan diadakan tahun depan memandangkan tahun ini merupakan masa yang sesuai untuk mengadakannya.

"Saya tak fikir ia akan berlarut sehingga tahun depan tahun 2013, wallahua'lam. Tetapi itu terpulang kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Tapi saya bagi tahu, saya kata yang paling baik adalah tahun inilah.

"Sekarang sudah hendak masuk bulan puasa (Ramadan). Ada orang tanya apakah bulan puasa nak diadakan pilihan raya? Saya kata apa salahnya. Bulan raya (Aidilfitri), apa salahnya. Selepas itu sambutan Hari Kebangsaan (31 Ogos), apa salahnya. Masuk September (sambutan) Hari Malaysia. Bila dah sampai waktu, maka jadilah ia (pilihan raya)," katanya.


Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Batu di ibunegara semalam.

Turut hadir ialah Ketua Umno Bahagian Batu Datuk Yahaya Mat Ghani dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Syed Ali Alhabshee.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan bahagian Umno yang bermasalah dalam bulan Ramadan ini.

Muhyiddin berkata jumlah bahagian yang bermasalah tidak banyak, dan berharap sesi pertemuan itu kelak dapat diguna
dengan sebaik mungkin untuk memperingatkan semua anggota parti peri pentingnya mengelak perkara yang boleh melemahkan parti.

Beliau berkata sekiranya terdapat masalah di mana-mana bahagian, semua pihak dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi perlu bersama-sama mencari penyelesaian bagi memastikan ia dapat diselesaikan secara baik.

Ini sekaligus memastikan kemenangan parti pada pilihan raya umum akan datang, katanya.

Muhyiddin berkata beliau sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang "saya mahu memanggil mana-mana bahagian bermasalah dan duduk berbincang dan bercakap terus terang."

"Kita ada 220 kawasan Parlimen dan kita tahu kedudukan tiap-tiap satu. Sedikit sebanyak masalah dalam bahagian itu, biasalah," katanya.

Beliau berkata bagi setiap kawasan yang ditandingi, baik di peringkat Parlimen mahupun negeri, adalah penting untuk mengembalikan kuasa Barisan Nasional (BN) yang telah hilang dalam pilihan raya umum lepas.

Beliau tidak mahu apa yang berlaku pada pilihan raya umum lepas berulang kembali, iaitu apabila kekalahan BN adalah kerana faktor sabotaj atau 'cah keting' anggota Umno sendiri, dan bukannya kerana kekuatan parti pembangkang,

Muhyiddin turut menyarankan pemimpin parti komponen BN untuk turut mengenal pasti kehendak dan masalah yang dihadapi oleh pengundi bukan Melayu supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.

- Bernama



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas