14 May 2012

Pemberi Maklumat NFC Ditekan Sehingga Letak Jawatan Dan Kemungkinan Di Penjara

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli kesal dengan tindakan NFC dan Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang terus menerus memburu rakyat yang tidak bersalah untuk dikenakan hukuman berat kerana disyaki membantu pendedahan segala penyelewengan yang berlaku di NFC.

“Terbaru beliau secara bertubi-tubi membuat aduan dan memberi tekanan kepada Public Bank dan Bank Negara Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap Johari Mohamad yang dituduhnya membocorkan maklumat pembelian harta mewah di KL Eco City kepada saya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Akibat tekanan itu, ujarnya tindakan telah diambil oleh Public Bank dan Bank Negara Malaysia terhadap Johari Mohamad.


Beliau berkata, Johari yang sudah tidak tahan dengan tekanan dan tindakan selama sebulan akhirnya membuat keputusan meletakkan jawatan dari Public Bank setelah berkhidmat berbelas tahun.

Tambahnya, tidak cukup dengan merosakkan periuk nasi rakyat yang tidak berdosa, Mohamad Salleh dan NFC terus memburu dengan mengenakan tekanan kepada Bank Negara pula.

Hari ini, jelasnya Johari akan disiasat dibawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) yang boleh dikenakan hukuman penjara 5 tahun.

Menurutnya, tindakan yang bersifat dendam kesumat itu sudah tentu dibincangkan dan mendapat restu Datuk Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno.

Sebelum ini, kata Rafizi apabila ditanya apa tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang mendedahkan penyelewengan NFC, Mohamad Salleh sendiri mengatakan bahawa beliau akan berbincang dengan keluarga.

“Tindakan dendam kesumat ini juga bertentangan dengan kenyataan Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail bahawa beliau tidak berdendam dengan sesiapa kecuali saya dan beliau tidak akan mengambil tindakan terhadap sesiapa pun kecuali saya.

“Jelasnya, beliau sedang berusaha untuk mengenakan tindakan terhadap semua yang beliau syaki membantu mendedahkan penyelewengan dan kekayaan peribadi keluarga beliau,” ujarnya lagi.

Menurut Rafizi, Mohamad Salleh tidak sedar bahawa tindakan dendam kesumat itu memberi imej yang buruk terhadap Umno.

“Ahli Umno sendiri menolak penyelewengan yang dilakukan oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, maka sudah tentu mereka pun muak dengan sikap penting diri keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil yang akan terus mengheret Umno ke dalam skandal NFC yang tiada penghujungnya,” katanya.

Beliau berkata, PKR akan membantu sepenuhnya Johari dari aspek bantuan guaman dan berusaha mendapatkan kerja baru supaya beliau tidak terus dimangsakan oleh dendam kesumat keluarga Shahrizat.

“Saya mendesak Bank Negara Malaysia supaya tidak tunduk kepada tekanan DatukSeri Shahrizat Jalil dan keluarganya. Sungguh malang apabila semua institusi negara – dari PDRM, SPRM dan kini BNM – diheret oleh beliau semata-mata untuk menutup penyelewengan yang telah berlaku,” tegasnya.

Penjelasan Johari

Sementara itu Johari yang merupakan seorang kakitangan Public Bank yang bertugas di cawangan Jinjang memberitahu pada 24 April lalu, beliau menerima sepucuk surat dari majikan menyatakan beliau didakwa melanggar tatacara dan disiplin tempat kerja berikutan satu aduan yang dibuat oleh Mohamad Salleh.

Aduan itu juga menuduhnya melanggar peruntukan Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 yang boleh disabitkan hukuman berat.

Beliau telah melalui proses perbicaraan disiplin (domestic inquiry) di Public Bank.

“Akibat tekanan di tempat kerja dan pelbagai tindakan yang diambil terhadap saya, saya telah membuat keputusan untuk berhenti kerja.

“Saya telah pun menyerahkan surat perletakan jawatan ekoran aduan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail,” jelasnya.

Hari ini pula, beliau telah diarahkan untuk melaporkan diri bagi tujuan siasatan di bawah Akta BAFIA di Bank Negara jam 2 petang.

“Saya kini disiasat pula oleh Bank Negara Malaysia di bawah BAFIA yang boleh membawa hukuman berat,” ujarnya.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas