BlogList Malaysia

07 May 2012

PAS temui 5,422 pengundi ragu dalam daftar baru

KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengenal pasti 5,422 pengundi berdaftar baru yang mempunyai kod nombor kad pengenalan luar biasa dan tidak serupa seperti warganegara biasa.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata jumlah itu sebahagian daripada senarai daftar pemilih baru pada suku pertama tahun 2012 yang sedang dipamerkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama dua minggu.

Mahfuz berkata, melalui pemeriksaan setakat semalam pihaknya mengesan kewujudan beberapa kod negeri kelahiran yang luar biasa dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), antaranya bernombor ’82′, ’67′, ’99′, ’77′, ’85′, serta ’71′.


Katanya, kod angka terbabit wujud selepas ’71′ yang dipertahankan JPN dengan alasan ia digunakan untuk rakyat asing yang mendapat taraf warganegara serta rakyat Malaysia yang lahir di luar negara.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tindakan SPR menerima pendaftar yang kod kelahirannya tiada dalam rekod JPN.

Tidak ikut peraturan sendiri

“JPN perlu menjawab apakah mereka keluar di negeri yang tidak diketahui…sangat meragukan apabila JPN tak ikut kod kelahiran yang ditetapkan mereka sendiri,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di sini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu percaya kemungkinan sebahagian daripada senarai nama yang meragukan itu adalah warga asing yang baru memperoleh taraf kerakyatan.

“Saya percaya mungkin puluhan ribu lagi nama daftar pemilih yang ada dalam sistem JPN tapi kita tak nampak,” katanya.

Selain itu, beliau turut mendedahkan wujudnya 113 pemilih yang bertugas sebagai pegawai latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA), namun diletakkan dalam kod lokaliti 400.

Lokaliti tersebut hanya digunakan oleh tentera bertugas yang membolehkan mereka menjadi pengundi awal.

Namun, menurut Mahfuz situasi ini tidak logik kerana Palapes hanyalah satu pasukan yang dibentuk melalui kegiatan ko-kurikulum universiti.

“Walaupun ada yang mempunyai kad pengenalan tentera, mereka sepatutnya diletakkan ke kem asal dan bukannya menjadi pengundi awal di Palapes IPTA.

“Kalau tidak pun mereka sepatutnya dijadikan sebagai pengundi biasa,” katanya yang menyifatkannya sebagai pertama kali dalam sejarah lokaliti sebegini timbul.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/05/07/pas-temui-5422-pengundi-ragu-dalam-daftar-baru/


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas