11 April 2012

Pegawai kerajaan jangan termakan ‘umpan’ bantu sindiket buat IC, kata Abdul Hadi

KUALA LUMPUR, 11 April — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan pegawai kerajaan agar tidak termakan “umpan” yang ditawarkan pihak tertentu untuk membantu mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini bagi membolehkan mengundi pada pilihan raya nanti.

Dalam tulisan di laman Facebook, Abdul Hadi (gambar) berkata mana-mana pegawai kerajaan yang bersubahat dalam perkara tidak elok akan memberikan kesan buruk kepada diri sendiri pada masa depan.


“Jangan jadi umpan untuk pegawai kerajaan dapat duit dan pangkat kerana ia hanya sembelih mereka sendiri.

“Bila bersara nanti, tidak dihormati masyarakat, bila mati akan dikutuk oleh masyarakat, itu nasihat saya,” kata Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang ini.

Sebelum ini, PAS mendesak Putrajaya membentuk suruhanjaya diraja siasatan (RCI) menyiasat kewujudan sindiket dianggotai pegawai kerajaan yang memberi taraf kerakyatan kepada warga asing untuk menjadi pengundi.

Menurut Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, pemberian taraf kerakyatan kepada warga asing semakin berleluasa dan ia akan memberi kesan yang buruk kepada masa depan negara.

Perkara itu terlebih dahulu didedahkan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang mengatakan wujud “task force” yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mengundi pada pilihan raya nanti.

Mahfuz mendakwa “task force” itu diketuai Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar serta beberapa pegawai lain di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bagaimanapun Wan Ahmad menafikan dakwaan itu.

Jelas Abdul Hadi, sekiranya Umno serius untuk mempertahankan hak Melayu dan agama Islam ia perlu dilakukan mengikut saluran sepatutnya bukan melakukan penyelewengan untuk menang pilihan raya.

Kewujudan “task force” itu dipercayai sebagai langkah untuk membantu kemenangan Umno-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya ke-13 tidak lama lagi.

“Pertahankan Melayu dan Islam bukan cara tipu, kena guna jati diri Islam. Yang hakis Melayu adalah kerana kerja-kerja penyelewengan yang dibuat Umno sebelum, semasa dan selepas pilihan raya,” kata Abdul Hadi.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pegawai-kerajaan-jangan-termakan-umpan-bantu-sindiket-buat-ic-kata-abdul-hadi/


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas