BlogList Malaysia

18 April 2012

AP Kereta Adalah Hak Istimewa Orang Melayu Dan Termaktub Dalam Perlembagaan

Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menegaskan cadangan pemansuhan permit mengimport (AP) kenderaan dari luar negara tidak boleh dilaksanakan kerana ia adalah tertakluk di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang mana melibatkan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Pengerusi Pekema, Datuk Zainuddin Abd Rahman menegaskan, AP adalah antara hak keistimewaan kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera, dan Kabinet tidak berkuasa untuk memansuhkan AP, sebaliknya kuasa itu terletak di bawah bidang kuasa Yang di-pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.


“AP ini adalah termasuk di dalam permit. Sama seperti tanah rezab Melayu, biasiswa, memegang jawatan dalam kerajaan dan sebagainya. Permit ini termasuk dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, dan Kabinet tidak mempunyai kuasa untuk memansuhkan AP.

“Hanya Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sahaja yang berhak untuk memansuhkan AP ini,” katanya yang dihubungi The Malaysian Insider semalam.

Justeru, jelas Zainuddin, cadangan untuk memansuhkan AP adalah tidak relevan, begitu juga cadangan Zon Perdagangan Bebas Asia (Afta).

“AP adalah antara inti pati Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang paling berjaya. Mungkin ia hanya perlu dipinda supaya sesuai dengan peredaran zaman.

“Melalui pemberian AP, ia melindungi hak keistimewaan masyarakat Melayu dan Bumiputera. Di negara-negara barat, mereka turut mempertahankan hak Bumiputera mereka,” tegasnya lagi.

Jelas Zainuddin, kesan langsung pemansuhan AP akan menjejaskan lebih 70,000 pekerja di sektor automobil yang terlibat, dan beliau mengharapkan kerajaan mempertimbangkan semula cadangan untuk memansuhkan AP tersebut.

“Dianggarkan lebih 70,000 tenaga kerja terlibat dengan AP. Mereka yang bekerja di pusat jualan kereta, bengkel-bengkel di seluruh negara, dan industri yang berkaitan akan terjejas.

“Pekema mengharapkan kerajaan mempertimbangkan semula cadangan untuk memansuh AP tersebut,” tambahnya.

“Melalui AP, kerajaan tidak mendapat sebarang kerugian, sebaliknya memperolehi keuntungan. Sejak 2010, AP di bayar RM10,000 ribu kepada Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), malah Pekema turut menjalankan tanggungjawab sosial membantu anak-anak Melayu.

“Kami memberikan biasiswa untuk mereka menyambung pengajian, beri bantuan kepada anak-anak yatin, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami.

“Secara kasarnya, setiap bulan, Pekema akan memperuntukkan lebih seratus ribu ringgit untuk membantu golongan yang memerlukan, jadi tidak timbul persoalan AP ini hanya menguntungkan sesetengah pihak,” tegas Zainuddin.

“Orang yang dengki sahaja yang sibuk hendak mansuhkan AP,” katanya merujuk kepada sesetengah pihak yang cuba membangkitkan perkara itu di Parlimen.

Sehubungan itu, Pekema telah menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pemansuhan AP berkenaan.

“Kami sudah menghantar memorandum kepada Agong minggu lepas, dan sekarang kami masih menunggu jawapan untuk diberi kebenaran menghadap baginda.

“Kami percaya, dalam masa terdekat Pekema akan dapat bertemu Agong dan menjelaskan perkara sebenar,” tambahnya lagi.

- TMI


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas