05 March 2012

Umno Gigit Jari - Kedah Akan Terus 'Sejahtera' Untuk Semua


Kemelut Kedah selesai, dua exco terima lantikan

Pergolakan kepemimpinan di negeri Kedah berakhir hari ini dengan pengumuman dua exco kerajaan negeri - Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh - menerima pelantikan semula jawatan mereka selepas berpuas hati dengan penubuhan jawatankuasa bagi mengawal selia pentadbiran negeri berkenaan.

"Matlamat saya sudah tercapai, saya akan sertai semula exco," kata Phahrolrazi.

Katanya, dengan penubuhan jawatankuasa itu, sekurang-kurangnya kuasa Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak tidak dominan sehingga tidak boleh dipersoal.


"Dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu, ini bermakna akan ada pihak yang memantau pentadbiran negeri," kata beliau lagi.

Pada sidang media di Alor Setar hari ini, mereka juga berharap, Azizan akan mematuhi hala tuju yang ditetapkan daripada PAS di peringkat Pusat.

Jawatankuasa berkaitan juga sudah berjalan di Kelantan bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Ditanya sama ada keputusan itu dianggap tamparan kepada Azizan, Phahrolrazi berkata perkara itu terpulang kepada interpretasi pemberita.

Sementara itu, Ismail yang dihubungi Harakahdaily berkata, beliau juga menerima baik keputusan PAS Pusat dan akan menyertai semula exco sebagaimana yang diarahkan.


"Kami buat baru-baru ini macam kamikaze untuk meminta pimpinan memberikan perhatian kepada apa yang berlaku di Kedah ini.

“Sekarang semua dah beri perhatian dan mekanisma pentadbiran juga dibentuk melalui Jawatankuasa Pemandu, kami akan sertai semula exco selepas diarahkan," katanya.

Portal rasmi PAS itu juga melaporkan beliau memberi jaminan akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memperkuatkan PAS bagi menjatuhkan Umno di negara ini.

"Kami tidak ada niat lain melainkan untuk kepentingan jamaah.

“Kami bukan nak jadi Hasan Ali. Tok Guru Haji Hadi tok guru kami, ustaz kami. Kami hormati mereka," katanya.

Sebelum ini, ketika dihubungi Malaysiakini, Dr Ismail berkata, beliau tidak akan menerima lantikan semula jawatannya selagi tiada penambahbaikkan dalam 'pentadbiran' negeri pimpinan Datuk Seri Azizan Razak.

Katanya, perubahan perlu dilakukan memandangkan pelbagai masalah-masalah dalaman yang telah timbul.

"Jika perubahan tidak ada, saya tidak akan terima (jawatan exco). Perubahan mesti dilakukan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.


"Saya nak perubahan tertentu dalam pentadbiran negeri. Saya juga mahu (PAS) Pusat ambil perhatian terhadap masalah yang kami hadapi.

"Dah lama benda ini kami sebut tapi tidak buat apa-apa. Jadi kami ini seolah-olah 'kamikaze' untuk perkara ke arah kebaikan."

Walaupun enggan mengulas sama ada beliau merujuk supaya menteri besar diganti, Ismail berkata, isu berhubung "orang yang mentadbir" perkara kedua.

Ditanya lagi sama ada Azizan perlu meletakkan jawatan, Ismail berkata, terpulang kepada kepimpinan Pusat PAS untuk membuat keputusan.

"Kami sudah beritahu apa yang kami tidak puas hati. Bergantung pada Pusat untuk menilai. Kalau perlu (letak jawatan), buat. Pusat lebih layak buat keputusan," katanya.

Marah sebab tak faham

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pagi ini berkata, Ismail dan seorang lagi exco Datuk Phahrolrazi Zawawi perlu menerima semula jawatan mereka kerana sudah diputuskan dalam mesyuarat khas di Alor Setar pada Sabtu lalu.

Selain itu, Ismail menjelaskan, apa yang dilakukannya ini bukanlah sebagai tanda kecewa terhadap parti tetapi demi kebaikan.

"Saya harap orang faham apa yang saya buat. Ada orang yang marah dengan tindakan saya ini. Saya anggap mereka tak faham. Bila tak faham, mereka marah.

"Saya bukan kecewa dan saya bukan kejar jawatan. Apa yang saya nak ialah perubahan ke arah lebih baik. Untuk perubahan yang baik itu payah dan yang susah itu kami pilih.

"Saya cuma mahu pertahanankan Kedah pada pilihan raya akan datang dan seterusnya ke Putrajaya " ujarnya.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas