09 March 2012

Tian Chua Dan Batu

SEBAIK saya keluar dari tingkat bawah surau di Taman Melewar, Kuala Lumpur selepas menunaikan solat jenazah baru-baru ini, saya dapati Tian Chua, Anggota Parlimen Batu berdiri di luar pintu bersalam dengan orang-orang baru selesai solat jenazah itu.

Saya tanya Tian Chua, “Sudah lamakah tiba?”

“Semasa orang sedang solat tadi,” jawabnya.

“Yang Berhormat tidak solat samakah?” saya berseloroh dengannya.

Dia ketawa saja.


Ramai orang ada di situ datang bersalam dan bercakap dengannya sambil menyaksikan jenazah itu dimasukkan ke van jenazah untuk dibawa ke kubur.

Selepas jenazah dibawa dari situ Tian Chua mengajak beberapa orang yang masih ada di situ pergi ke restoran yang berdekatan minum kopi. Saya kenal semua orang-orang itu, penduduk di situ, mereka bukanlah orang yang saya selalu lihat di Markaz Tarbiyah di taman itu.

Tetapi mereka nampaknya mesra dengan anggota Parlimen Pakatan Rakyat itu.

Dua bulan lalu sepulang dari solat Isyak saya diberitahu, seorang wartawan Harakah hendak disolat jenazahkan di Masjid Simpang Tiga Gombak, tidak jauh dari Taman Greenwood, Batu Caves. Saya diminta segera ke situ supaya sempat meraikan jenazah itu.

Ketika saya tiba di masjid itu jenazah belum dimandikan. Saya menjenguk jenazah di bilik pengurusan jenazah. Saya keluar dari bilik itu dan jenazah pun mula diuruskan.

Di luar bilik itu saya, Tian Chua datang untuk memberi penghormatan kepada jenazah. Dia tidak masuk ke bilik memandikan jenazah. Tetapi dia berbual dengan orang yang menziarahi menunggu jenazah itu disolatkan.

Lama juga menunggu pengurusan itu. Semuanya berkumpul di kawasan sekitar masjid. Saya menunggu bersama yang lain di serambi dewan yang digunakan untuk acara keraian lain yang bukan solat. Dewan solat di tingkat atas.

Ada yang berdiri kerana tiada banyak kerusi di situ. Ramainya duduk di lantai menunggu jenazah dikapankan. Tian Chua datang menghampiri mereka lalu duduk bersila bersama orang-orang yang menunggu yang ramai dikenalinya.

Lama juga menunggu. Dia terus berada di situ. Setengah dari yang datang itu pulang segera sebelum jenazah disolatkan kerana hal masing-masing. Tetapi Tian Chua masih di situ hinggalah jenazah sedia untuk disolatkan. Saya tidak sedar bila dia beredar dari situ.

Beberapa bulan lalu seorang ustaz aktivis penting PAS di Kampung Padang Balang meninggal dunia. Saya tidak segera ke rumahnya malam itu kerana saya solatnya di Masjid Padang Balang pagi esoknya. Penuh orang yang solat jenazahnya di masjid itu hampir menyamai solat Jumaat.

Tidak pula saya nampak Tian Chua di situ. Saya beberapa kali terserempaknya di majlis bukan solat di kawasan masjid itu.

Beberapa hari kemudian saya terjumpa Tian Chua. Saya tanya dia, saya tak nampak dia di sekitar masjid semasa ustaz itu meninggal.

Katanya, dia sudah ke rumah jenazah itu sebaik saja maklumat kematian itu diberitahu kepadanya. Dia ziarah jenazah di rumahnya. Nampaknya dia tiba dulu dari saya.

Saya sendiri tidaklah hadir ke semua kematian yang berdekatan dengan tempat tinggal saya itu. Saya hadir di tempat yang saya ada maklumat tentang kematian itu saja. Tetapi beberapa kali saya jumpa dia di tempat kematian itu. Mungkin juga selama dia menjadi wakil rakyat dia ziarah mayat yang saya tidak sempat menziarahinya.

Yang saya jumpa itu bukan di rumah kematian orang-orang PAS saja. Ke rumah UMNO mati pun saya pergi. Tidak terkejut jika dia ada.

Sejak berpuluh tahun kawasan Parlimen Batu tidak pernah berwakil rakyatkan orang Islam, melainkan diwakili Cina Barisan Nasional. Tetapi saya tidak ingat saya pernah bertemu dengan wakil rakyat di majlis-majlis sosial yang saya hadir di kawasan itu. Mungkin wakil rakyat itu datang pada masa saya tidak ada, tetapi saya pun tahu siapa wakil rakyat saya masa dulu.

Setelah tua tinggal di kawasan Parlimen Batu hanya dalam PRU 2008 baru pembangkang menang.

Akan Tian Chua ini sentiasa ada di rumah kematian dan perkahwinan.

Kalau orang Islam mati kita kadang-kadang terjumpa dengannya, tentulah dia juga selalu ke rumah orang Cina yang mati dan demikian juga agaknya kalau orang India mati.

Itulah Tian Chua.

Subky Latif


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas