13 March 2012

PRU-13: MP BN diberi peruntukan pancing undi

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mahu ahli parlimen BN supaya segera mengagihkan peruntukan RM10 juta di bawah Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) dan peruntukan skim perumahan bagi nelayan bernilai RM300 juta - di kawasan masing-masing sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan tidak lama lagi.

"Ini titik sentuh yang kita nak buat cepat. Duit belum turun, tapi saya minta KSU (ketua setiausaha) untuk guna duit kementerian dulu," katanya pada taklimat bagi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) di Kuala Lumpur malam tadi.


Skim perumahan untuk nelayan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan bajet tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk golongan nelayan.

Menurut Noh, peruntukkan tersebut akan disalurkan berdasarkan kepada tiga peringkat iaitu pertama membaiki rumah nelayan, kedua permohonan membina rumah baru dan ketiga mewujudkan perkampungan nelayan dengan dana disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

"Untuk mengadakan perkampungan ini, tanahnya mesti disediakan oleh kerajaan negeri... Kita akan berikan duit tunai terus kepada kerajaan negeri.

"Saya nak desak semua menteri-menteri besar, saya ingat semua Yang Berhormat mendapat surat pekeliling, untuk maklumkan bagaimana kita nak melaksanakan duit RM300 juta ini," katanya.

Menurutnya bagi peringkat pertama yang perlu dilakukan dengan serta-merta adalah pihak kementerian telah mengeluarkan 15,498 borang permohonan dan borang berkenaan perlu diserahkan oleh persatuan nelayan tempatan dan dibawa kepada MPPP.

Turunkan kuasa

Setakat ini, kata Noh mereka hanya menerima kembali lebih 8,600 borang termasuk lebih 2,000 yang mendapat sokongan MPPP.

MPPP diwujudkan pada tahun 2009 untuk menyelaras aktiviti-aktiviti pertanian di kawasan parlimen dan dipengerusikan oleh ahli parlimen BN manakala kawasan di mana kerusi parlimennya dimenangi oleh pembangkang pula diserahkan ketua-ketua BN tempatan.

Justeru, kata Noh, ahli parlimen BN mesti segera mengadakan mesyuarat MPPP.

"Jangan mengadu kepada saya bahawa persatuan nelayan yang memilih ramai ahli PAS manakala permohonan ahli BN tidak diluluskan.

"Saya bergantung kepada sokongan MPPP, jadi saya berharap MPPP yang belum mengadakan mesyuarat, sila berbuat demikian segera," katanya.

Pada taklimat itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut mengagihkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada BNBBC bagi membolehkan mereka "memantau" masalah dalam sektor pertanian di parlimen mereka.

Menurut Noh, dengan agihan itu, beliau telah ‘menurunkan kuasanya’ dengan melantik semua wakil rakyat BN untuk memastikan MPPP berjalan "seperti mana yang dirancangkan".

Noh yang juga ahli parlimen Tanjong Karang berkata berdasarkan bajet 2012 yang dibentangkan, kementeriannya hanya mendapat RM10 juta berbanding RM22 juta yang sepatutnya diperolehi.

"Oleh kerana kita mendapat RM10 juta, lebih kurang separuh, jadi sebab itu saya malam ini saya kena bagi separuh jugalah, RM50 ribu saya beri dulu.

Memantau lebih dekat

"Dengan adanya MPPP ini, ahli-ahli yang berhormat dapat memantau dengan lebih dekat masalah-masalah yang berkaitan sektor pertanian, terutama melalui kementerian saya yang mempunyai tiga jabatan dan sembilan agensi," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan membuat rayuan pada mesyuarat kabinet supaya peruntukan itu ditambah berdasarkan kepada hasil dan pencapaian yang dicapai kementerian berkenaan.

Sejak 2009 hingga 2011, Noh berkata kementeriannya telah memperuntukkan sebanyak 66.6 juta kepada 222 MPPP seluruh negara.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM48.1 juta telah dibelanjakan, manakala baki peruntukan - RM18.5 juta - masih belum dibelanjakan.

"Jadi yang tidak belanja ini, ini susah sikit nak jawab... ada sebab-sebab tertentu," katanya.

"Pihak kementerian sentiasa memantau semua minit-minit mesyuarat MPPP yang dihantar ke kementrian dan di kementerian kita mempunyai urusetia untuk menyemak minit mesyuarat ini".

http://malaysiakini.com/news/191868


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas