02 March 2012

Gara-Gara Phahrolrazi, Misi BN Tawan Kedah Lebih Mudah Berbanding Selangor

Tidak sukar untuk memahami kegelisahan ahli-ahli PAS peringkat akar umbi tentang situasi terkini politik di Kedah. Mereka risau dan bimbang perkembangan dramatik yang disensasikankan media itu boleh menyebabkan rakyat menolak Parti Islam dalam pilihan raya umum akan datang.

Hinggakan ada pembaca yang menelefon saya meluahkan rasa takut kerajaan Pakatan Rakyat Kedah boleh tumbang, sepertimana pernah berlaku di Perak genap tiga tahun lalu. "Bilangan Adun Pakatan dalam Dun Kedah, termasuk DAP, tinggal 20 orang, satu kelebihan yang cukup kecil berbanding 36 kerusi semuanya," katanya, sambil meminta Harakah memberi penjelasan lanjut senario sebenarnya.

Selepas Mohd Radhi Salleh (Lunas) dan Tan Wei Xu (Bakar Arang) mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas, KeADILan hanya mempunyai tiga Adun. Wakil PAS tetap 16, manakala DAP seorang. Kerajaan majoriti mudah terbentuk melalui 19 Adun.


"Insya-Allah, kerajaan negeri tetap stabil. Tak mungkin berlaku pengkhianatan di kalangan Adun PAS sampai BN boleh mengambil kesempatan, seperti kes Perak. Kalaupun ada perselisihan, ia hanya perbezaan pandangan bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan," jawab saya.

Bagaimanapun reaksi pembaca setia Harakah itu jelas tidak berpuas hati dengan respons saya: "Yang untung hanyalah Umno, tiada pihak lain. Dan makin cerahlah peluang mereka tawan Kedah. PAS dalam posisi yang lebih sukar."

Seorang lagi menyuarakan keresahan sama: "PAS sukar digugat daripada luar. Semakin kita ditekan, tambah padu dan jitu, tetapi dengan pergolakan dalaman, kedudukan kita goncang dan mudah dikalahkan, apatah lagi dalam realiti di Kedah, kerajaan campuran baru satu penggal berkuasa."

SMS daripada rakan-rakan saya di kampung, Tunjang, Jitra dan lebih ramai lagi di Alor Setar, bertali arus. Sebahagian besarnya seperti kebingungan: "Yang paling kami tidak faham, mengapa hal ini dibangkitkan semasa semua orang bersiap sedia berdepan PRU13. Penyokong tegar mungkin tetap mengundi PAS dan Pakatan, tetapi bagaimana dengan majoriti rakyat yang kehairanan memerhati?"

"Rakyat bercakap soal laluan Pakatan ke Putrajaya. Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin meramalkan BN hanya selamat di tiga negeri dan kejutan hampir pasti berlaku di Sabah dan Sarawak. Takkan ketika banyak pihak ghairah ingin melihat perubahan di seluruh negara, tiba-tiba Kedah yang dalam genggaman pun mungkin terlepas, bukan kerana BN kuat tetapi PAS yang lemah," usik seorang pemerhati politik.

Menyalahkan media milik Umno yang mengeksploitasi semahunya isu ini -- meskipun kebanyakan laporannya tersasar dan hilang punca -- tentulah tidak banyak menyelesaikan masalah. Dungu sangatlah Utusan Malaysia dan TV3 (serta tidak terkecuali The Star yang dikuasai MCA itu) jika tidak memanipulasikan peluang keemasan ini untuk membantu taukehnya, BN, menawan kembali Kedah dalam PRU13.

Sifat ingin tahu orang ramai, termasuk ahli dan pendokong PAS, sukar ditenteramkan hanya dengan nasihat atau peringatan mesti mendapatkan khabar daripada sumber berautoriti parti. Dalam zaman langit terbuka dan dunia tanpa sempadan ini, maklumat atau tohmahan hanya di hujung jari.


Secara peribadi, saya sukar membayangkan jika negeri kelahiran saya itu bakal direbut semula oleh Umno, hanya berpunca daripada masalah dalaman parti yang gagal diuruskan dengan baik. Umum mengetahui bahawa Umno Kedah kini bukannya dalam kedudukan terbaik untuk melakukan kejutan. Kelemahan ketara mereka daripada segi barisan kepimpinan yang lemah dan tidak menonjol.

Sejak 1969, prestasi PAS di Kedah begitu membanggakan. Meskipun penguasaan kerusi Dun ada
kalanya begitu menyedihkan, namun kekuatan asas PAS tetap bertahan.

Aktivis PAS negeri ini pasti mengalir air mata mengenangkan kesungguhan, ketekunan dan ketabahan pemimpin agungnya, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, mengharungi siri kesukaran dan penderitaan, termasuk menanggung keuzuran yang menyiksakan.

Ya, Ustaz Fadzil yang begitu dekat dan terasa cukup akrab dengan sanubari para aktivis parti ...

Penggerak PAS Kedah tentunya masih mengingati sedalamnya tribulasi yang terpaksa dihadapi mereka hanya kerana mahu mendaulatkan kebenaran yang dibawa Parti Islam. Peristiwa Memali pada 19 November 1985 memakan korban yang ramai dan menganugerahkan syuhada buat 14 pejuang PAS.

Sebelumnya, ia didahului tragedi Lubuk Merbau, yang mengorbankan aktivis PAS, Othman Talib, yang terbunuh semasa kempen pilihan raya kecil Padang Terap pada Januari 1985, selepas diserang ahli-ahli Umno.

Pada akhir 1980-an, ramai aktivis PAS dikurung ISA ekoran rampasan tanah Muassasah Darul Ulum seluas 48 relung di Pokok Sena, lebih kurang 20km dari Alor Setar. Ahli-ahli PAS seluruh negeri Kedah bergilir-gilir membuat kawalan, siang dan malam, bagi mempertahankan hak mereka.

Sesungguhnya keringat, air mata dan darah menyuburi tapak kekuatan PAS Kedah.

Sebenarnya, yang menghalang PAS daripada membentuk kerajaan negeri lebih awal hanyalah kerana sokongan pengundi bukan Melayu di Kedah yang ketika itu masih setia kepada BN. Misalnya, pada pilihan raya umum 1999, BN berpaut rapat dengan masyarakat bukan Melayu apabila sebahagian besar kerusi majoriti pengundi Melayu dikuasai PAS.


Kemenangan manis pada Mac 2008 adalah hadiah paling istimewa buat aktivis PAS Kedah yang terbukti tetap istiqamah dan komited mengungguli perjuangan meskipun diasak kiri dan kanan. Amanah rakyat ini perlu dipelihara sebaiknya; kepercayaan tinggi mereka usah dipersiakan.

Beberapa rakan mengingatkan saya: "Kini, Umno boleh menyimpan peluru miliknya kerana mereka boleh menggunakan peluru yang dihadiahkan PAS untuk menyerang PAS sendiri. Adat orang berseteru, termasuk sesama dalam sebuah parti, akan timbul sedikit sebanyak serangan peribadi yang memburukkan sesama sahabat. Lebih bimbang lagi jika ia hanya fitnah."

Seperti ahli-ahli PAS dan penyokong Pakatan yang lain, saya amat mengharapkan ada kaedah atau pendekatan terbaik menangani kemelut ini. "Ribut dalam cawan" ini tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi jika ia bukan hanya membabitkan dua tiga tokoh sahaja.

"Walaupun ribut dalam cawan, tetapi mesti pastikan air tidak tumpah ataupun terpercik keluar." Ungkapan ini pernah saya dengar belasan tahun lalu, juga semasa PAS dilanda krisis dalaman.

Apa pun, laporan Harakahdaily, Selasa lalu, memberi sinar positif.

Rombongan PAS Pusat yang bertemu pemimpin negeri, yakin isu di Kedah dapat diselesaikan dalam masa terdekat, kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub. Beliau berkata demikian selepas pimpinan PAS Pusat mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Razak.

Mereka juga turut menemui Exco Kanan Dato' Ir Phahrolrazi Zawawi, yang menjadi perhatian media sejak akhir-akhir ini.

Pimpinan PAS Pusat yang diketuai Timbalan Presiden, Mohamad Sabu itu turut disertai Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, Penolong Setiausaha Agung PAS.

Mereka berkunjung ke rumah Ustaz Azizan dan Phahrolrazi. "Pertemuan hari ini banyak menghasilkan buah fikiran dan cadangan yang membina serta menunjukkan tanda positif ke arah penyelesaian. Hasil pertemuan ini akan dibawa ke mesyuarat khas AJK PAS Pusat malam Rabu," kata Salahudin.

Semasa ramai prihatin dengan perkembangan di Kedah, saya mendapat emel, antara lain merakamkan: "Semua pemimpinan Pakatan mesti menjaga perlakuan serta percakapan kerana dibimbangi ia boleh menjerat diri. Mesti berhenti daripada berasa "akan menang" atau "selangkah ke Putrajaya" takut-takut kita mudah berpuas hati dan mengurangkn gerakerja serta mengharapkn orang lain melakukan tugas yang kritikal.

"Terus terang cakap,jangan seronok sangat kononnya ramai orang sokong Pakatan. Harakah harus beri kefahaman tentang perjuangan Islam PAS kepada orang Melayu dengan sejelasnya.

"Akhir sekali tetapi penting, berhenti berangan-angan, rapatkan saf dan gempur habis-habisan. Semua perkara harus dilakukan dengan pantas dan tersusun. Kurang bercakap, banyakkan kerja, cakap hanya yang penting saja," kandungan emel itu dipetik.

Dalam pada itu, ingatan seorang pemimpin cawangan PAS di Selangor juga perlu diberi perhatian. Melalui telefon beliau mengharapkan agar pemimpin tertinggi parti meneliti impak program-program bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali, yang kini aktif berceramah di seluruh negara.

"Jangan hanya serahkan isu Hasan Ali kepada PAS Selangor semata-mata. Dalam situasi setiap undi begitu penting, sama ada buat Pakatan, mahupun BN, maka pilihlah jalan lebih selamat iaitu memandang serius semua isu yang berkait dengan PAS," ujarnya.

"Mungkin ada yang berkata siri ceramahnya itu, pada sesetengah tempat agak ramai hadirin, kerana ia ditaja Umno, lalu dipandang remeh. Saya tak setuju. Saya bimbang ada pengundi Melayu confuse dan keliru bila dengar ceramahnya. Kesan akhirnya, ini akan menguntungkan Umno," tekannya lagi dengan nada serius.

Pandangan rakan saya, editor kanan sebuah akhbar harian, mungkin boleh disanggah dengan mudah, tetapi saya lebih selesa untuk bersikap berhati-hati dan tidak meremehkannya. Beliau berkata, isu-isu di Kedah dan Selangor, meletakkan PAS pada kedudukan yang agak goyah di negeri-negeri berkenaan.

"Mungkin misi BN akan menjadi lebih mudah di Kedah berbanding Selangor," tambahnya.

Ahmad Lutfi Othman


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas