17 February 2012

Umat Vampire?

“Darah! Kami mahukan darahnya. Bawak dia pulang supaya kita boleh ambil darah si Murtad itu.. Orang Murtad darahnya halal! Kami mahu darahnya!!!”…..

Ini bukan satu babak di dalam filem box-office yang menjadi kegilaan jutaan remaja perempuan di seluruh dunia, ia juga bukan juga sebaris skrip yang dialih bahasa dari “The Twillight Saga”, akan tetapi ini adalah realiti, satu mimpi buruk bagi remaja Saudi berusia 23 tahun, Hamza Kashgari. Satu mimpi yang bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Pada 5 Februari 2012, hari ulangtahun keputeraan Nabi Muhammad (S.A.W), Hamza telah menerbitkan puisi sepanjang 3 rangkap di laman Twitter beliau. Bait-bait puisinya menerangkan bagaimana Rasulullah menjadi sumber inspirasinya namun beliau menganggap baginda seperti kawannya. Puisinya membawa satu maksud yang mendalam dan bukan bertujuan untuk menghina Rasulullah. Malangnya, ramai di kalangan Muslim telah tersalah tafsir atau sengaja menyalahtafsirkan maksud tersirat puisi Hamza, beliau dituduh menghina Muhamad dan Islam, sekaligus dikatakan telah murtad dan tergelincir akidahnya.


Terkejut dengan reaksi masyarakat Saudi, Hamza memadamkan puisinya dan dengan seikhlas hati memohon maaf di laman Twitternya dan telah mengucap shahadah untuk memastikan akidahnya tidak tergelincir akibat puisi tersebut. Namun kemaafan yang dipinta tidak diendahkan.

Kerana takut akan keselamatannya, Hamza melarikan diri dari Saudi dan telah datang ke Malaysia dengan harapan agar kita dapat membantunya. Namun hampa, kerana seperti di Saudi, “Vampire” juga wujud di Malaysia, tapi malangnya bukan “Vampire” sekacak dan sebaik seperti Edward Cullen yang menjadi igauan para remaja perempuan, tetapi “Vampire” sejahat dan serakus kumpulan “The Newborn Army” yang sentiasa dahagakan darah. Mereka enggan memaafkannya dan merasakan kematian Hamza adalah wajar dan tepat.

Newborn Army

Pada 12 Februari 2012, Hamza telah diusir pulang oleh Kerajaan Malaysia, bekas Kerajaan Islam Hadhari. Dituduh pengganas oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia (“The Volturi”) Hamza diterbangkan ke Saudi secara rahsia, dan beliau bakal berdepan hukuman bunuh. Walaupun perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghalang deportasi Hamza, Hishammuddin Hussein dengan angkuh menafikan kewujudan perintah itu. Tanpa rasa bersalah, Kerajaan 1Malaysia dibawah pimpinan Najib, telah berbangga dengan keputusan menghantar Hamza ke tali gantung.

Di Malaysia ramai orang Islam bertukar menjadi “Vampire” ala “Newborn Army”, tatkala terbaca headline akhbar tempatan yang tidak beretika dan “misleading” (seperti biasa,) “Wartawan Arab menghina Nabi”. Golongan Muslim Vampire di Malaysia, menjerit mahukan Hamza dihantar pulang dan dibunuh kerana puisinya tanpa mengetahui isi kandungan puisi itu sendiri, apatah lagi untuk mengetahui cerita disebalik perintah penangkapan Hamza.

Hanya mereka yang ingin mencari kebenaran mengetahui bahawa penangkapan Hamza adalah sesuatu yang bermotifkan politik dan bukanlah agama. Pergerakkan Hamza dan rakan-rakanya telah lama dipantau oleh kerajaan Saudi. Puisinya dijadikan alasan untuk menangkap dan menghukumnya kerana penglibatannya dalam pergerakkan kebangkitan kaum muda di Saudi. Hanya segelintir sahaja yang tahu bahawa Hamza telah menerbitkan puisi yang membawa maksud yang sama setahun yang lalu, tiada sebarang reaksi negatif diterima dan tiada tindakan yang diambil.

Tanpa mengetahui atau mencari kebenaran, masyarat Islam khususnya di Saudi dan di Malaysia telah menjatuhkan hukuman tanpa soal selidik ke atas Hamza. Marah, benci dan ingin melihat Hamza disiksa sehingga mati, inginkan darahnya. Hamza dilabel sebagai penjenayah. Sedih sekali! Penganut dan pengamal agama yang cintakan keamanan menjadi golongan yang paling ganas. Islam bermaksud “peace or purity” tetapi umat Islam jauh dari sifat tersebut. Mereka seolah-olah lupa wujudnya prinsip-prinsip sistem keadilan islam dalam menghukum seseorang manusia.

Masyarakat Islam telah lupa ajaran Islam sebenarnya. Agama Islam dijadikan agama hukuman, segala kesalahan akan dihukumi dengan seberat-berat hukuman, tiada ruang untuk kemaafan. Islam dijadikan alat untuk menindas kaum yang lemah oleh mereka yang berkepentingan. Pemimpin-pemimpin agama obses mencari kesalahan dan dosa orang lain. Agama Islam dicemari umat Islam sendiri yang terlalu taksub dengan agama dan dosa dan diatas alasan ingin menjaga kesucian agama penindasan berleluasa.

Kita lupa bahawa Allah bersifat penyayang dan pemaaf. Jika benarlah Hamza telah menghina Nabi adakah mustahil dan salah untuk kita memaafkannya? Nabi telah memaafkan perbuatan penduduk Kota Taif yang bukan sahaja menghina Baginda malahan telah melemparinya dengan najis. Setiap manusia selagi belum berpisah roh dan jasadnya Tuhan pasti akan menerima taubatnya. Jadi siapa kita untuk tidak mengendahkan taubat Hamza? Boleh jadi para Sheikh di Saudi merasakan mereka lebih hebat dari Tuhan? Di dalam Surah An-Nur ayat 21, Yang Maha Pengampun dan Penyantun mengingatkan kita:

“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu?”.

Terniang-niang sebaris lirik dari lagu “Maafkan Kami” dari filem Pendekar Bujang Lapok yang berbunyi, “Sedangkan Nabi ampunkan Umat!”. Jadi adakah masyarakat Islam masih mahukan darah Hamza? Ya atau tidak jawapannya, ia tidak membawa apa-apa perbezaan sekarang kerana Hamza sudah pun dihantar pulang untuk berdepan hukuman bunuh.

Makanya vampire “the newborn Army” di Malaysia boleh bersorak riang, darah Hamza boleh dinikmati. Umat akhir zaman adalah umat Vampire!

Farhana Abdul Halim, Lawyers For Liberty

http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=23295:umat-vampire?&Itemid=2


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas