02 February 2012

Kepala Babi: Selangor Tawar RM10,000

KUALA LUMPUR, 2 Feb: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengucapkan tahniah di atas keprihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menyumbang sebanyak RM10,000 kepada mana-mana pihak yang berjaya menjejaki dalang kepada insiden meletakkan kepala babi di hadapan pintu utama Masjid Nurul Iman di Rawang.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan mengharapkan semoga dengan sumbangan berbentuk wang tunai itu akan dapat menyelesaikan isu terbabit dengan kadar segera dan seterusnya akan mententeramkan kembali perasaan masyarakat setempat.


“Selain itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mengecam insiden tersebut dan menyifatkan tindakan ini adalah tindakan orang yang ‘singkat akal’ dan tidak bertamadun,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tawaran Kerajaan Selangor mengenai ganjaran wang tunai RM10,000 kepada individu yang dapat memberikan maklumat hingga tertangkapnya pihak yang melakukan tindakan keji itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Rodziah Ismail ketika memberitahu media selepas mesyuarat mingguan Exco semalam berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu boleh menghubungi menerusi pusat khidmat pelanggan di talian 1800-888-2824 bagi menyalurkan maklumat.

Hasbullah berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mengharapkan semoga seluruh rakyat bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokasi itu.

Justeru, beliau meminta rakyat untuk terus bermunajat dan berdoa semoga tindakan provokasi itu akan dapat dihentikan dan pesalah-pesalah tersebut akan dihadapkan ke muka pengadilan.



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas