18 February 2012

Azmi usah berdolak-dalik lindungi NFC

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid hendaklah menghentikan segera kenyataan yang boleh menyebabkan beliau dilihat cuba melindungi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) juga meminta Azmi supaya menghentikan palbagai dolak-dalik yang dilihat cuba mengelakkan minit mesyuarat PAC mengenai NFCorp disiarkan kepada umum.

"Saya difahamkan oleh mereka yang menghadiri mesyuarat tersebut, Azmi memperlihatkan sikap yang seimbang dan bertanggungjawab ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut.


"Malangnya, sikap beliau kini berpusing 360 darjah dan beliau semakin dilihat cuba mengelakkan minit mesyuarat tersebut didedahkan kepada umum.

"Apa yang hendak disembunyikan? Apa yang hendak beliau lindungi?" kata Mahfuz.

Mengulas syarat terbaru Azmi, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, beliau bersedia berusaha untuk memastikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang menulis surat kepada Pengerusi PAC itu supaya beliau mendedahkan kepada umum minit mesyuarat berkenaan.

"Rakyat berhak tahu adakah pinjaman mudah RM250 juta dari Kementerian Kewangan kepada NFCorp itu dibuat mengikut peraturan kewangan, adakah pinjaman itu mempunyai jaminan peribadi, adakah perjanjian pinjaman itu mempunyai jadual bayaran dan sebagainya," kata Mahfuz.

Dalam kenyataan terbarunya, Azmi menambahkan satu lagi syarat sebelum beliau mendedahkan minit mesyuarat PAC berkaitan NFCorp itu.

Syarat tambahan tersebut, kata Azmi, ialah ketua ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat mesti menulis surat kepada beliau mempersetujui minit tersebut didedahkan kepada umum.

Sebelum ini, Pengerusi PAC itu berkata beliau hanya memerlukan surat dari Ketua Pembangkang sahaja.

Tetapi dalam syarat terbarunya itu, Azmi juga memerlukan surat persetujuan dari Presiden PAS dan Penasihat DAP.

Isu NFCorp yang dimiliki keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abul Jalil semakin menarik apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri memberi tekanan kepada Shahrizat.

Bekas presiden Umno itu menyarankan Shahrizat supaya lebih menyayangi Umno dengan meletakkan jawatan daripada menyayangi jawatannya kerana masalah peribadinya boleh menjejaskan parti.

"(Beliau) mesti fikirkan kesan kepada parti. Jangan terlalu sayangkan sangat jawatan,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula dilaporkan tidak memberikan jawapan yang jelas mengenai kedudukan Shahrizat.

"Ia tidak dibincangkan di sini. Ini adalah prerogatif Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Shahrizat pula tidak kelihatan mahu berundur dari jawatannya.

Malah, beliau pernah berkata kepada Sin Chew, "Beritahu saya, pemimpin Umno mana yang tidak ada masalah?"


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas