20 January 2012

MSO mohon maaf pada Zaid

Penulis akhbar Buletin Rakyat, Mohd Sayuti Omar dan dua lagi hari ini membuat permohonan maaf kepada Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim kerana menyiarkan artikel fitnah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof yang mendengar kes tersebut membenarkan permohonan maaf tersebut direkodkan sebagai perintah persetujuan.

Peguam yang mewakili Zaid, Nizam Bashir yang ditemui pemberita berkata Mohd Sayuti, pengarang akhbar Norzah Kepol dan penerbit yang juga pemilik akhbar itu, Kantung Network Sdn Bhd juga akan menyerahkan RM1,000 kepada Yayasan Kurang Upaya Kelantan yang dimiliki Zaid, sebagai salah satu persetujuan penyelesaian di luar mahkamah.


Nizam berkata ketiga-tiganya juga bersetuju menarik balik dan akan memastikan kenyataan fitnah itu tidak akan diulang serta menerbitkan permohonan maaf di dalam akhbar Buletin Rakyat selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Pada 9 Disember tahun lepas Zaid memfailkan saman terhadap ketiga defendan berikutan penerbitan artikel bertajuk "Zaid Terus Hanyut Dalam Keegoannya".

Zaid mendakwa artikel tersebut telah memfitnah dan membawa maksud bahawa beliau memiliki moral politik yang rendah, seorang yang ego, bersikap autokratik, menggunakan kekayaan untuk memaksa orang tunduk kepadanya dan tidak memiliki ketinggian budi pekerti.

Beliau menuntut satu perintah menghalang kesemua defendan daripada menerbitkan kata-kata fitnah berkenaan di dalam akhbar dan internet, satu perintah supaya defendan mengambil langkah menarik balik atau memadamkan kata-kata fitnah itu dan defendan perlu menerbitkan atau menyiarkan permohonan maaf di akhbar itu secara berterusan selama dua bulan atau tempoh yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Beliau turut menuntut gantirugi am RM10 juta daripada setiap defendan, ganti rugi khas, gantirugi teruk dan gantirugi teladan.

- Bernama



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas