BlogList Malaysia

02 January 2012

"Kami dibelasah, ditumbuk dan ditendang,”

SHAH ALAM – Kumpulan mahasiswa yang terlibat dengan perhimpunan menuntut kebebasan Adam Adli Abdul Halim dan akademik di pekarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) awal pagi tadi mahu Datuk Seri Najib Tun Razak agar memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam berhubung kekasaran pihak polis.

Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Haziq Abdullah Abdul Aziz berkata, tindakan polis melakukan kekasaran terhadap mereka termasuk menyebabkan Pengerusi Gerakan Penuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Safwan Anang cedera parah tidak sepatutnya berlaku.

Menurut Haziq, tindakan polis menumbuk dan menendang untuk meleraikan demonstrasi adalah tidak relevan kerana kumpulan mahasiswa terbabit tidak melakukan apa-apa yang mencetuskan keganasan dan hanya baring beramai-ramai di depan pintu utama Upsi.


“Kami kesal atas tindakan polis berkenaan, selain meminta Datuk Seri Najib memohon maaf dalam tempoh 24 jam, kami juga akan membawa kes ini kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Dalam perkembangan berkaitan seramai 17 mahasiswa yang ditahan di Balai Polis Tanjung Malim telah dibebaskan sekitar 4 petang tadi.

Safwan masih dirawat di Hospital Slim River dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menceritakan insiden yang berlaku malam tadi, Haziq berkata mereka mula berkumpul di pintu utama Upsi pada jam 1.50 pagi dan sempat memberi ucapan selama 10 minit sebelum pihak polis dan FRU tiba.

“Polis memberi amaran supaya menghentikan perhimpunan jika tidak akan sembur gas pemedih mata dan ketika kami ingin ke depan pintu pagar Upsi, tiba-tiba seorang pegawai polis datang, ingin menarik Safwan ke trak polis.

“Mahasiswa yang berhimpun menjadi marah dan berlaku pergelutan antara kami dan polis, dan di situ kami dibelasah, ditumbuk dan ditendang,” katanya.

Haziq berkata, Safwan yang pernah mempunyai rekod perubatan di mana tulang mukanya pernah retak, telah ditumbuk oleh pegawai polis mengakibatkan dia menggigil kesakitan dan rebah di atas jalan.

Jelas Haziq, insiden memecah pintu masuk Klinik Syifa berhampiran adalah kerana keadaan memaksa iaitu ingin membantu Safwan yang menggigil dan berlumuran darah.

“Kami tidak dapat membawa Safwan ke hospital kerana kunci kereta sudah dirampas, lalu pergi ke klinik berkenaan dan merayu kepada pembantu jururawat agar membuka pintu tetapi enggan berbuat demikian.

“Tiba-tiba berlaku adegan tolak-menolak antara kami dan pihak polis di depan pintu klinik menyebabkan pintu itu pecah, ramai yang cedera akibat insiden itu tetapi polis tidak memberi sebarang bantuan perubatan kepada kami,” katanya.

Haziq, antara 17 mahasiswa yang ditahan berkata, Safwan kemudiannya dibawa ke hospital dengan kereta rakannya.

“Saya dan 16 yang lain dibawa ke balai polis untuk memberi keterangan, kemudian ditahan beberapa jam sebelum dibebaskan petang tadi,” katanya.

Sinar Harian

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas