KUALA LUMPUR, 1 Jan — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menegaskan anggota polis perlu mengambil tindakan dengan bijak dan bukan bertindak di luar batasan sehingga menyebabkan kepada kecederaan orang awam.
Menurut Juanda, insiden tindakan kasar polis semasa menghuraikan demonstrasi aman mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi amat membingungkan.
Beliau berkata sekiranya tindakan itu diambil dengan perasaan marah ia tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan bertambah teruk.
Tambah Juanda, sepatutnya kedua-dua belah pihak berunding untuk mencari jalan penyelesaian terlebih dahulu bagi mengelakkan masalah lain seperti kecederaan.
“Pembantaian mahasiswa di UPSI amat membingungkan. Kenapa sampai perlu menumpahkan darah sesama sendiri yang diharamkan oleh agama? Apakah pintu musyawarah (berunding) sudah tertutup?
“Kemarahan tidak akan selesai dengan memarakkan kemarahan. Masing-masing ada hak untuk bertindak, maka jagalah batasan hak masing-masing,” katanya dalam tulisannya di laman Facebook.
Awal pagi tadi beberapa mahasiswa yang mengadakan demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik di UPSI telah ditahan polis kerana ingkar arahan pihak berkuasa yang mengarahkan mereka bersurai.
Kumpulan mahasiswa itu mendakwa polis telah bertindak kasar dengan “memukul, menendang dan menumbuk” mereka, yang menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Muhammad Safwan Anang dihantar ke Hospital Slim River kerana tidak sedarkan diri.
Difahamkan dianggarkan seramai 60 orang mahasiswa telah mengadakan demonstrasi di kampus itu bermula malam tadi bagi memprotes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan menuntut solidariti untuk Adam Adli Abdul Halim, yang menjadi perhatian kerana menurunkan kain rentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di luar ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur bulan lalu.
Pemimpin PKR dan DAP mengkritik tindakan kasar polis terhadap kumpulan mahasiswa itu.
Bagaimanapun Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan menafikan anggotanya bertindak kasar semasa menghuraikan demonstrasi dengan menegaskan “tiada pergelutan” yang berlaku semasa tangkapan dibuat.
Tambah Juanda, pihak polis sepatutnya bertindak secara bijaksana dalam menghuraikan demonstrasi itu.
“Sewaktu api fitnah sedang mara menjulang, pihak berkuasa sewajarnya mencari sesuatu yang sudah semakin hilang pada hari ini, iaitu kebijaksanaan.
“Ya, anda ada kuasa, tetapi biarlah orang hormat dan hargai kuasa anda, bukannya memarakkannya dengan fitnah kebencian,” katanya.
0 Komen :
Post a Comment