BlogList Malaysia

25 January 2012

Gangguan ceramah ABU, polis nafi dakwaan bersubahat

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob menafikan dakwaan bahawa polis terlibat atau bersubahat dengan pihak tertentu dalam kekecohan yang berlaku dalam ceramah di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam di Jalan Kebun, Sabtu lalu.

Sebaliknya, kata beliau, ACP Zahedi (kiri) berkata, pihak polis hanya mengetahui tentang kekecohan yang berlaku di situ sesudahnya ianya berlaku dan bukan sebelumnya.

Bercakap dalam sidang medianya di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam, beliau juga berkata, pihak penganjur tidak memohon permit bagi mengadakan majlis tersebut.


"Mereka langsung tidak memaklumkan (kepada kita). Maka kita tidak
membuat persiapan sehingga dimaklumkan kekecohan telah berlaku.

"Bila berlaku, kata kita tidak jaga keselamatan... Itu tidak adil," katanya sambil menambah bahawa tidak berlaku kerosakan harta benda awam di dewan tersebut.

Sehubungan itu, Zahedi memberi saranan kepada bakal penganjur supaya memaklumkan kepada polis berhubung majlis yang mereka akan adakan pada masa depan.

"Pelajaran yang kita perolehi ialah mesyuarat atau perjumpaan, maklumkan kepada polis supaya kami boleh menjaga keselamatan dan menjaga keamanan. Itu sahaja.

"Di samping itu, pihak penganjur perlu sedar dan prihatin kepada sensitiviti penduduk tempatan, tempat yang mereka hendak anjurkan (ceramah)," tambahnya sambil menambah laporan yang mengatakan terdapat gerai dirosakkan adalah tidak betul.

Semalam, Pergerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) dilapor mengesyaki terdapat anggota polis bersekongkol dengan pihak yang didakwa mengganggu ceramah mereka di Shah Alam Sabtu lalu.

Ditanya mengenai sensitiviti yang dimaksudkan sehingga menyebabkan kekecohan berlaku, Zahedi berkata ia masih dalam siasatan polis dan enggan mengulas panjang.

Bagaimanapun, beliau mengesyaki penduduk tempatan "tidak berpuashati" dengan kain rentang ceramah berkenaan yang tertulis "Tamatkan Rejim Umno/BN".

"Ini yang menimbulkan kemarahan orang tempatan," katanya sambil menunjukkan salinan gambar kain rentang tersebut kepada pemberita.

Malah, tambahnya, Akta Perhimpunan Aman yang baru diluluskan, juga menyentuh tentang sensitiviti setempat.

Menjawab soalan, Zahedi berkata, tidak ada senjata tajam ditemui dalam insiden tersebut.

"Tetapi yang kita nampak dalam video itu, kayu bekas bendera, yang dipasang di sekeliling dewan tersebut.

"Apa tujuan kayu itu berada dalam dewan, Allahua'lam," katanya sambil merujuk kepada rakaman video dalam Youtube.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahedi juga sedang menunggu laporan perubatan berhubung kecederaan yang dialami oleh seorang lelaki yang berumur 27 tahun.

"Kita menunggu laporan perubatan lelaki yang dikatakan cedera. Kami bersungguh untuk menemuramahnya jika situasi mengizinkan. Kalau keadaan, doktor kata, tak ada apa-apa, boleh temuramah, kami akan temuramah.

"Dan kami ingin mengetahui bagaimana dia mendapat kecederaan, dan mengapa dia, dan tidak orang lain. Itu adalah isu pokok yang kita nak tanya," katanya sambil menyatakan setahu mereka, lelaki itu cedera di bahagian bahu dan merah di bahagian mata.

Zahedi enggan mendedahkan nama lelaki berkenaan, tetapi berkata pemuda itu adalah seorang pemandu lori dan merupakan orang luar yang tinggal di seksyen 25, Shah Alam.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas