BlogList Malaysia

04 October 2011

Hisham: BERSIH 2.0 masih pertubuhan haram

Di sebalik ikrar kerajaan untuk menjadi 'negara terbaik demokrasi di dunia', namun pentadbiran BN tidak melihat sebarang alasan kukuh bagi menarik balik pengharaman terhadap BERSIH 2.0 - NGO yang menuntut pembaharuan dan penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini.

Dalam jawapan bertulis kepada Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan pertubuhan itu masih diisytihar tidak sah menurut Akta Pertubuhan 1966.

Ini berikutan BERSIH 2.0 didakwa "bergerak aktif bagi menimbulkan kekacauan awam".


Menurut menteri itu, aktiviti itu cuba dilakukan melalui:

*menyebarkan propaganda untuk menghasut rakyat supaya menjatuhkan kerajaan dengan mengedarkan bahan bercetak tertentu.

*aktiviti yang dianggap negatif kepada imej negara, dan juga boleh mengancam ketenteraman awam, keselamatan dan kemakmuran ekonomi serta kedaulatan negara.

"Oleh sebab itu, BERSIH tetap pertubuhan haram yang tidak sah," kata Hishammuddin lagi.

Beliau juga menambah, status BERSIH 2.0 tidak berubah dengan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung penambahbaikan sistem pilihan raya.

Jawatankuasa yang ditubuhkan semalam membabitkan sembilan ahli parlimen yang terdiri daripada lima daripada BN, tiga dari Pakatan Rakyat dan seorang wakil Bebas.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili dan ahlinya terdiri daripada Datuk Alexander Nanta Linggi, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Tan Sri Fong Chan Onn dan P Kamalanathan.

Pakatan Rakyat pula semalam mengumumkan pihaknya akan diwakili oleh Azmin Ali, Dr Hatta Ramli dan Antony Loke.

Manakala Bebas diwakili oleh ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong. - Mkini



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas