Pengundi diragui: Langkah SPR bukti daftar ragukan, kata Pemuda PAS
KUALA LUMPUR, 14 Okt — Pemuda PAS mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu mempamerkan 40,000 nama pengundi, yang dikategorikan sebagai kumpulan diragui untuk mendapatkan maklum balas maklumat yang sahih dan tepat.
Bagaimanapun sayap parti Islam itu yang secara berterusan mempertikaikan kesahihan daftar pemilih berkata, pihaknya cukup terkilan dengan sikap Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) yang sebelum ini sering berdolak-dalik berkenaan dengan isu yang cukup serius ini.
“Sebelum ini Abdul Aziz menafikan adanya pemilih yang diragui status pemilih mereka dalam data SPR seperti yang telah didedahkan oleh pihak Pemuda PAS Malaysia sebelum ini.
“Kini terbukti sudah kebenaran seperti yang didakwa dan mungkin angkanya melebihi daripada 40,000 nama seperti di dakwa oleh SPR,” kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Mohd Sany Hamzan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Mohd Sany berkata Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS berharap semoga pihak SPR berlaku telus dan bersungguh-sungguh untuk melakukan pembersihan daftar pemilih ini.
“Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak mahu SPR hanya membuat kenyataan retorik yang hanya bertujuan untuk ‘mengaburi’ mata rakyat bagi menunjukkan kesungguhan SPR melaksanakan reformasi pilihanraya di dalam negara ini,” kata beliau lagi.
Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS katanya, “dengan ini mengarahkan supaya seluruh jentera Pemuda di semua peringkat untuk melakukan siasatan dan mengenal pasti penama-penama yang akan dipamerkan oleh pihak SPR bagi memastikan penama-penama tersebut adalah sebenarnya orang yang mempunyai kelayakan untuk menjadi pemilih dalam negara ini, dan bukannya ‘orang samaran’ yang diciptakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.”
Selain itu, kata beliau, Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta supaya para pimpinan PAS di semua peringkat, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat serta sekalian rakyat Malaysia supaya melakukan semakan terhadap status diri sendiri sebagai pemilih berdaftar di dalam daftar pemilih kerana pihak Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mendapat maklumat ada usaha yang dilakukan oleh pihak SPR untuk “mengeluarkan dan menghilangkan” nama-nama pengundi yang telah berdaftar dan pernah mengundi sebelum ini secara tidak sah dan tanpa pengetahuan mereka melalui operasi pemutihan daftar pemilih ini.
Oleh itu, kata beliau, Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS mengharapkan supaya sayap itu di peringkat kawasan akan memainkan peranan menyediakan perkhidmatan semakan status pengundi kepada masyarakat setempat di pejabat masing-masing secara serius untuk mengelak kejadian kehilangan pengundi daripada daftar pemilih sedia ada dan mengambil tindakan susulan sekiranya berlaku kes kehilangan tersebut kepada peringkat Negeri dan Pusat.
Semalam, Aziz berkata SPR akan mempamerkan senarai 40,000 nama yang terdapat dalam daftar pemilih yang tidak dapat disahkan kesahihan maklumatnya.
Kata beliau, nama-nama itu disiarkan untuk tatapan umum di laman web dan media bagi membolehkan individu berkenaan mengunjungi pejabat SPR bagi membantu menjelaskan kedudukan.
“Ada maklumat yang tidak dapat dipastikan seperti terdapat kes nama pengundi di senarai daftar pemilih dan Jabatan Pendaftaran Negara berlainan dan sebagainya.
“Kita juga hendak memastikan status seseorang pengundi itu sama ada hidup ataupun tidak,” katanya.
0 Komen :
Post a Comment