Keluarga Beng Hock tuntut tuduhan jenayah ke atas tiga pegawai SPRM
Teoh Lee Lan (tengah) dan Gobind Singh Deo (kanan) selepas membuat laporan di balai polis Tun H.S. Lee hari in. — Foto oleh Melissa Chi
KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Keluarga Teoh Beng Hock menuntut polis menyiasat tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja berhubung kematian bekas setiausaha politik DAP itu.
Tengah hari tadi keluarga itu membuat laporan polis dengan harapan satu siasatan jenayah akan dijalankan.
“Bukan kami tidak ada kesabaran. Kami sudah lama bersabar dan telah diambil kesempatan (ekoran kesabaran kami),” kata kakak Beng Hock, Lee Lan selepas membuat laporan di balai polis Tun H.S. Lee di sini.
“Kami sudah lama menunggu dan tiada tindakan serius daripada kerajaan,” tambah Lee Lan.
Peguam yang mewakili keluarga Teo, Gobind Singh Deo pula berkata, laporan polis dibuat berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz di Dewan Rakyat Isnin lalu bahawa kerajaan tidak mengenakan tindakan pendakwaan ke atas tiga pegawai SPRM terbabit meskipun mereka dinamakan dalam laporan dikeluarkan tiga bulan lalu berikutan tiada laporan polis dibuat.
“(Jadi) hari ini kami membuat laporan polis ekoran penemuan suruhanjaya diraja untuk memastikan siasatan dijalankan dan tindakan sewajarnya di ambil ke atas mereka yang bertanggungjawab di atas kematian Teoh Beng Hock,” katanya.
Gobind juga menyuarakan kekecewaannya terhadap kenyataan Nazri kerana tiada tindakan diambil terhadap tiga pegawai terbabit sedangkan laporan suruhanjaya diraja sudah membuktikan perkara itu.
“Kes ini telah berjalan dua tahun lebih tetapi masih tiada tindakan diambil, saya mencabar Nazri untuk ambil tindakan.
“Saya juga kecewa dengan kenyataan Nazri Aziz berikutan tiada siasatan akan dijalankan terhadap pegawai terbabit kerana tiada laporan polis dibuat, adakah pihak polis sendiri tidak boleh membuat laporan?” katanya.
0 Komen :
Post a Comment