BlogList Malaysia

14 September 2011

Mat Sabu saman Utusan, Muhyiddin dan bekas IGP menyusul

KUALA LUMPUR, 14 Sept — Selepas memfailkan saman terhadap Kumpulan Utusan dan Ketua Pengarangnya Datuk Aziz Ishak hari ini, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memfitnahnya kononnya mengagungkan-agungkan komunis.

Pagi ini Mohamad yang diwakili peguam PAS Mohamad Hanipa Maidin telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memfitnah pemimpin nombor dua parti Islam itu melalui artikel muka hadapan Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu.

“Hari ini kita telah failkan saman di atas fitnah yang dilakukan di muka depan Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu, saya hanya akan mempertahankan diri dan mengelak daripada fitnah-fitnah terutamanya tuduhan komunis dan pengganas... semua tuduhan lain adalah tuduhan politik yang kita boleh jawab.


“Fitnah-fitnah boleh menyebabkan keselamatan saya dan keluarga saya terjejas, maka perlu ambil tindakan undang-undang, saman ini adalah perkara yang ditimbulkan, yang saya langsung tidak sebut dalam ucapan pada 21 Ogos lalu di Tasik Gelugor, Pulau Pinang,” kata Mohamad pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini.

Beliau yang mesra dengan panggilan “Mat Sabu” memberitahu saman terhadap Muhyiddin akan dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Hanipa.

“Beliau (Muhyiddin) kaya, kalau saman pun tidak mengapa,” katanya.

Mohamad juga kesal dengan tindakan Muhyiddin yang menolak untuk berdebat mengenai isu pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Jelas beliau, keengganan Muhyiddin untuk berdebat menyebabkan beliau terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu.

Selain Muhyiddin, Mohamad juga akan memfailkan saman terhadap bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan kerana menyifatkannya sebagai pengganas dan pengkhianat negara.

“Itu kena tanya beliau (Muhyiddin), saya lebih rasa yang baik adalah debat atau dialog sebab tuduhan beliau bersangkut paut dengan akidah.

“Tuduhan ini adalah tuduhan berat, beliau suruh saya bertaubat dan bertaqwa sebab itu kita tawarkan penyelesaiaannya,” katanya menjawab keengganan Muhyiddin untuk berdebat.

Muhyiddin sebelum ini berkata Mohamad perlu balik ke landasan betul dan berpegang kepada prinsip takwa menambah sebagai seorang pemimpin Islam beliau patut selalu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dan sentiasa bercakap benar.

Sementara itu Hanipa berkata, saman dibuat ekoran keengganan Utusan Malaysia untuk meminta maaf dan menarik balik artikel bertarikh 27 Ogos yang telah menimbulkan kontroversi.

“Jadi saman ini ekoran notis tuntutan yang kita hantar sebelum ini walaupun Utusan Malaysia ada balas tetapi mereka tidak menyatakan akan minta maaf atau tarik balik fitnah yang mereka buat terhadap Mohamad Sabu.

“Saman ini lebih kepada tuduhan mengaitkan Mohamad Sabu dengan komunis sedangkan tuduhan itu tidak berasas, selepas ini kita akan serahkan salinan writ saman kepada Utusan Malaysia dan saya percaya mereka akan lawan ... mereka akan lawan habis-habisan,” katanya.

Kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini, tiada jumlah saman dikemukakan sebaliknya menyerahkannya kepada hakim untuk menentukan jumlah saman sekiranya menang.

“Kita tidak letak jumlah saman, biar mahkamah yang tetapkan jumlah sekiranya kita menang, kita juga minta Utusan Malaysia siarkan permohonan maaf selama tiga hari dan tarik balik artikel yang disiarkan.

“Selepas ini saya diarahkan untuk failkan saman terhadap Muhyiddin dan Musa Hassan yang mengatakan Mohamad adalah pengkhianat dan pengganas,” katanya.



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas