BlogList Malaysia

10 September 2011

Bukan dijajah: Pemimpin PAS dakwa Prof Zainal hina bangsa sendiri

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pemimpin-pemimpin PAS terus melahirkan pendirian kecam sambil menyifatkan kenyataan Prof Zainal Kling yang menganggap Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British atas alasan hanya ada perjanjian naungan sebagai sesuatu yang memalukan dan menjatuhkan kredebiliti beliau sebagai ahli akademik.

Pengerusi Perpaduan Nasional PAS Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan beliau yang mewakili Majlis Profesor Negara (MPN) menghina perjuangan bangsa yang selama ini menjadi sumber inspirasi generasi anak merdeka.

“Kurikulum sejarah sekolah-sekolah sejak sekian lama memahamkan pelajar kita bahawa British adalah penjajah dan kita merdeka dari penjajah dengan laungan Merdeka!


“Ia tidak memerlukan seorang profesor untuk memahami bahawa ‘merdeka’ membawa pengertian kebebasan dari sesuatu penjajahan dan bukan naungan,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar ini dalam satu kenyuataan hari ini.

Mujahid menambah, kenyataan beliau turut menghina pejuang bangsa selama ini kerana jikalau bukan penjajahan mengapakah adanya “istilah ‘pejuang kemerdekaan’, mengapakah adanya semangat nasionalisme menentang penjajahan British?”

“Bukankah Perjanjian Pangkor menandakan penjajahan kepada kekayaan negara dan eksploitasi kekayaan hasil bumi untuk memberikan kekayaan kepada penjajah?

“Tidak cukupkah maruah bangsa diinjak apabila anak bangsa tidak ada suara dalam menentukan nasib bangsanya selama dijajah?” kata beliau.

Kata Mujahid, beliau tidak tahu apa maksud Zainal apabila memutarbelitkan istilah penjajah kepada penaung.

“Adakah beliau mahu mengatakan bahawa generasi anak merdeka telah ditipu oleh buku-buku sejarah atau tawarikh yang kita baca di bangku sekolah dan di universiti?

“Oleh itu saya menuntut supaya pihak MPN melucutkan beliau dari terus menganggotai MPN bagi memelihara kredibeliti majlis ini dan menuntut supaya gelaran profesor ditarik balik kerana menghina sejarah bangsanya sendiri dan penghayatan kemerdekaan yang baru sahaja kita sambut,” katanya lagi.

Mujahid menambah beliau juga menuntut Zainal menarik balik kenyataannya bahawa “kita tidak dijajah, kita hanya dinaungi oleh British.”

“Jika beliau tidak menarik balik, ini menandakan bahawa seluruh rakyat Malaysia yang masih hidup dan yang mati selama ini telah ditipu dengan mempercayai bahawa kita telah dijajah sedangkan kita hanya dinaungi sahaja.

“Saya menyeru kepada Kementerian Pelajaran supaya mengambil tindakan yang tegas terhadap profesor ini yang menimbulkan kekeliruan yang amat berbahaya terhadap perjuangan bangsa yang terbina selama ini,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Perak Ahmad Nuri Al-Amin berkata, Badan Perhubungan PAS Perak menyifatkan Wacana Merdeka yang dianjurkan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) di Ipoh semalam gagal menjelaskan tajuk asal perbincangan mengenai tragedi Balai Polis Bukit Kepong.

Katanya, malah pentas wacana tersebut lebih menjadi medan mencetuskan polemik baru yang menyanggah fakta besar yang telah diterimapakai selama 54 tahun dengan menafikan sejarah kemerdekaan negara.

“Penafian terhadap kemerdekaan negara pada 1957 itu lahir daripada fakta yang disebut berulang kali oleh para panelis wacana bahawa Tanah Melayu langsung tidak pernah dijajah oleh British, suatu kenyataan yang tidak disiarkan oleh media massa perdana yang dikuasai kerajaan,” katanya lagi.

Malah menurut beliau, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar juga menggambarkan bahawa penubuhan Umno pada 1946 bukan untuk mendapatkan kemerdekaan negara, tetapi hanya untuk memastikan bahawa Tanah Melayu dikembalikan kepada pemerintahan dahulu.

“Manakala penekanan Tun Hanif berkaitan tragedi Bukit Kepong hanya mengisyithar bahawa kematian pasukan polis sebagai wira walaupun tidak menafikan pasukan polis ketika itu di bawah pemerintahan British.

“Nama Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sering menjadi sebutan Tun Hanif semalam sepatutnya turut dijemput pihak IDR bagi menjelaskan isu berkaitan Ahmad Indera @ Mat Indera. Jika ianya diadili sebaiknya, wacana tersebut perlu dihadiri juga oleh Mohamad untuk memperkatakan perkara tersebut,” kata beliau.

Kata Ahmad, sesungguhnya hasil wacana semalam telah menimbulkan lebih banyak kekeliruan dari menjelaskan keadaan.

“Bagaimana status pejuang-pejuang Melayu Perak seperti Datuk Maharaja Lela Pandak Lam yang dihukum buang negeri dan pejuang-pejuang Melayu lain yang terbunuh ketika dikatakan menentang British.

“Jika Tanah Melayu tidak dijajah, siapakah yang mereka tentang dan siapakah pula yang menghukum dan membunuh mereka. Adakah ini angkara Melayu gunakan British untuk menentang dan membunuh sesama Melayu?” katanya lagi.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas